jobs from my.neuvoo.com

15 Julai, 2015

Putus hubungan, biar DAP mulakan dahulu - Allahyarham Nik Aziz

Tindakan PAS yang memutuskan hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP dalam pakatan pembangkang adalah satu keputusan yang betul dan selaras dengan kehendak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata bapanya yang juga bekas Mursyidul Am PAS pernah menyatakan pandangan akhir di mana jika ingin berpecah biarlah DAP yang memulakannya terlebih dahulu.

"Dia pesan kepada saya jangan berpecah dengan DAP sehingga DAP sendiri buat keputusan untuk kerat (putus) dengan PAS, harapannya kalau terpaksa berpecah biarlah DAP yang mulakan dahulu dan itu berlaku.

"Oleh itu, saya yakin apa yang saya pegang adalah pandangan saya dan pandangan bersama ayahanda sebab saya orang yang paling dekat dengan dia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kota Baru, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan bahawa hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik parti itu dengan DAP terbatal namun pihaknya masih mengekalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Dalam perkembangan lain, Nik Mohamad Abduh berkata pihaknya akur sekiranya terdapat anggota PAS yang membuat keputusan untuk menyertai parti Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) ataupun DAP.

"Yang buat keputusan untuk berpindah kita alu-alukan dan ucapkan selamat tinggal kepada mereka sama ada untuk sertai Harapan Baru atau sertai DAP.

"Kepada mereka yang masih keliru harapnya beri masa... lihat, dengar dan berfikir. Saya nasihat kekal istiqamah dengan PAS," katanya.

Nik Mohamad Abduh berkata beliau yakin bahawa pimpinan baharu PAS ketika ini berupaya untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi parti itu dalam masa terdekat.

"Saya yakin kepimpinan baharu cukup tenang untuk selesaikan isu-isu, sebagai contoh tidak ada tindakan drastik terhadap anggota yang berkasar dengan kepimpinan baharu meskipun banyak keputusan pelik dibuat ketika ini, pimpinan baharu itu lebih tenang," katanya.

Semalam, beberapa bekas pemimpin kanan PAS melancarkan sebuah pergerakan dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.

Pengerusi jawatankuasa penajanya, Mohamad Sabu berkata gerakan itu akan menjadi wadah bagi menyatukan semua parti politik di bawah naungan Pakatan Rakyat sebelum ini serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sealiran dengan ideologi mereka.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata pemimpin yang berada dalam GHB sebenarnya takut kerana masih menjadi anggota PAS.

"Kalau betul nak tubuh parti baharu, letak lah jawatan dan keluar daripada PAS dahulu... baru orang yakin dengan tindakan mereka," katanya.

Beliau berkata dari sudut komposisi dan perjuangan GHB dan PKR hampir sama dan ia tidak akan memberi nilai tambah dalam pakatan pembangkang. – Bernama


EmoticonEmoticon