jobs from my.neuvoo.com

11 Julai, 2015

Rakyat Malaysia sertai Isis hanya jadi pecacai tandas, kasihan...

Majoriti rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) untuk berperang di 2 negara itu, tidak pernah terlibat dalam peperangan dan akhirnya, berkesudahan melakukan kerja-kerja kasar, kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Timbalan menteri dalam negeri itu berkata, Isis tidak banyak merekrut rakyat Malaysia sebagai tentera kerana mereka tidak mempunyai sebarang latihan ketenteraan dan oleh itu, tidak pandai mengendalikan senjata.

"Tanpa sebarang kemahiran berperang atau pengalaman bertempur, rakyat Malaysia ini tidak pernah benar-benar mengambil bahagian dalam peperangan. Mereka hanya melakukan kerja-kerja am berdasarkan arahan komander kepada mereka.

“Jadi, mereka jadi pencuci tandas atau pembantu di dapur.

“Kebanyakan mereka tidak dibekalkan dengan senjata tetapi beberapa yang diberikan senjata berpeluang menyertai peperangan dan terbunuh atau tercedera dan terpaksa pulang ke tanah air," katanya kepada pemberita semalam.

"Tetapi pencuci tandas dan pembantu dapur ini menganggap diri mereka militan dan berusaha untuk menjadi askar.

"Fikiran mereka muktamad. Lawan dan bunuh. Apa yang mereka ada ialah semangat untuk berperang."

Beliau berkata, kerana keinginan mereka untuk melawan dan membunuh, mereka belajar sendiri kemahiran ketenteraan daripada militan lain seperti pembuatan bom dan bahan letupan yang ditambah baik.

"Bayangkan apa kerosakan yang mereka boleh lakukan kepada negara ini dengan kemahiran tersebut.

"Mereka boleh lakukan banyak keajaiban dengan mengebom kedai hiburan, gereja dan kuil."

Beliau berkata, daripada maklumat yang dikumpul dan dikongsi dengan perkhidmatan perisikan lain di seluruh dunia, kira-kira 96 rakyat Malaysia yang pergi ke Timur Tengah dengan harapan untuk menyertai Isis berperang.

Katanya, "6 atau 7 orang" setakat ini terbunuh.

Laporan sebelum ini menyatakan, 6 rakyat Malaysia meninggal dunia sebagai pengebom berani mati dengan seorang daripadanya, dilaporkan menerima latihan ketenteraan di Port Dickson, menerima penghormatan yang meragukan sebagai pengebom berani mati Isis pertama di kalangan warga Malaysia.

Ahmad Tarmimi Maliki, 26, dilaporkan memandu SUV tentera yang diisi dengan bahan letupan ke ibu pejabat senjata khas dan taktikal (SWAT) Iraq di al- Anbar pada Mei tahun lepas, membunuh 25 askar elit Iraq.

Wan Junaidi berkata, 40 orang militan lagi ditangkap sekembalinya mereka ke tanah air dan kini berada dalam tahanan.

Walaupun wujud ancaman daripada militan itu, Wan Junaidi berkata keadaan masih "dalam kawalan".

"Kita boleh katakan kenal kebanyakan daripada mereka dan sedang memantau dan memerhatikan mereka di bawah pengawasan."

Katanya, apabila militan itu pulang, polis biasanya tidak menangkap mereka serta-merta.

Beliau berkata, mereka akan diletakkan di bawah pengawasan yang berterusan dan aktiviti dipantau.

"Polis sengaja membenarkan mereka bebas bergerak.

"Kami tidak mahu menangkap hanya satu orang. Kami mahu seluruh rangkaian mereka, kenalan mereka, dan mereka yang bersimpati." – 11 Julai, 2015.


EmoticonEmoticon