jobs from my.neuvoo.com

15 Julai, 2015

Rusuhan Low Yat: Peguam tuduh Ketua Polis Negara berbohong

PETALING JAYA: Seorang peguam kepada tertuduh kes curi telefon bimbit di Low Yat sehingga tercetusnya pergaduhan menuduh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berbohong.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, salah seorang peguam kepada Shahrul Anwar Abd Azizi, 22, mendakwa Khalid tidak menceritakan kejadian sebenar kepada media.
“KPN menyatakan dua orang naik ke tingkat atas untuk mencuri telefon. Ini bohong.

“Selepas bersama anak guam di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini (Selasa), anak guam kami menyatakan hanya seorang sahaja naik ke atas dan bukannya dua orang,” katanya kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mohd Khairul Azam juga mendakwa, Ketua Polis Negara juga berbohong apabila mengatakan salah seorang suspek yang dibebaskan telah membuat fitnah ditipu oleh peniaga telefon bimbit.

Dia berkata, kenyataan yang dipetik blogger oleh Khalid berkenaan telefon klon juga tidak benar.

“Anakguam kami tidak pernah menimbulkan cerita telefon klon ini dan anakguam kami tidak pernah ada apa-apa hubungan dengan mana-mana blogger,” tegasnya.

Dia berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilihat semakin sudah hilang kredibiliti apabila membuat kenyataan mengelirukan orang awam dan mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.

“Mana mungkin polis menangkap, menyiasat dan terus menuduh anakguam kami sebagai penjenayah seperti mana kenyataan KPN semalam kerana mahkamah, hakim dan bukti-bukti belum dikemukakan.

“Seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan sebagai bersalah,” katanya yang turut memuatnaik kenyataannya di Facebook.


EmoticonEmoticon