jobs from my.neuvoo.com

27 Julai, 2015

Teman kekasih bermalam di hotel

PASANGAN yang ditahan dalam serbuan, kelmarin.
Kuala Terengganu: Tindakan seorang lelaki bersama teman wanitanya menginap di hotel sebelum menghantar kekasihnya pulang ke rumah sewa sebaik tiba di negeri ini pada Jumaat lalu membawa padah apabila mereka dicekup awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, anggota penguat kuasa syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengambil masa 10 minit sebelum pintu bilik dibuka pasangan terbabit yang dipercayai tidur dalam bilik di tingkat satu hotel berkenaan.

Sebelum kejadian, lelaki terbabit berusia 23 tahun dari Kubang Kerian, Kelantan dikatakan menemani teman wanitanya berusia 18 tahun yang belajar di kolej di negeri itu menaiki bas dari Kota Bharu sebelum tiba pada jam 7 malam.

Sumber berkata, lelaki yang bekerja di restoran di Kota Bharu bersama teman wanitanya yang berasal dari Kubang Kerian memilih untuk menginap di hotel bajet berkenaan dan akan menghantarnya ke rumah sewa di Kampung Kubang Jela, Manir, di sini, pada keesokan hari.

Menurutnya, pasangan terbabit memberi alasan tidak ada teksi untuk menghantar mereka ke kampung berkenaan sebelum mendaftar masuk hotel itu yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, pada jam 8.30 malam.

Katanya, sebaik menerima maklumat sepasukan anggota penguat kuasa segera ke hotel bajet terbabit bagi melakukan serbuan.

“Sebaik pintu bilik dibuka, pihaknya mendapati ada seorang lelaki dan wanita berada dalam bilik berkenaan dan soal siasat mendapati pasangan terbabit tiada ikatan sah dan bukan mahram.

“Ketika ditanya lelaki terbabit memberitahu dia datang ke negeri ini kerana menghantar teman wanitanya yang belajar di kolej di bandar.

“Dia (teman wanita) tinggal di rumah sewa, tetapi kerana pasangan berkenaan memilih untuk menginap di hotel kerana hari sudah malam sementara menunggu siang,” katanya yang mendapati lelaki terbabit hanya memakai seluar pendek ketika dicekup.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di bilik bersebelahan, dua lelaki masing-masing berusia 16 dan 18 tahun ditahan kerana bersekedudukan dengan remaja perempuan berusia 19 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati remaja perempuan terbabit mendakwa tinggal di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan singgah di bilik berkenaan untuk menemui seorang daripada dua lelaki terbabit yang juga teman lelakinya.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 31(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001.

“Mereka dibebaskan dengan jamin mulut oleh penjamin masing-masing sementara menunggu pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66382#sthash.1lJ8nmhz.dpuf


EmoticonEmoticon