jobs from my.neuvoo.com

25 Julai, 2015

Terlanjur dalam video seks, Hulk Hogan dipecat dari WWE

World Wrestling Entertainment (WWE) mengambil langkah drastik memecat Terry Bollea selepas rakaman menunjukkan dia berbahasa perkauman dalam pita seks tersebar.

Jika anda kurang biasa dengan nama Bollea, cuba pula ini: Hulk Hogan.

Ya, Bollea dan Hogan adalah orang yang sama.

Menjadi pujaan ramai di dalam dan luar gelanggang, dia mencemar namanya apabila didapati memberikan kenyataan rasis dalam rakaman video seks Hogan dengan isteri rakannya, DJ Bubba “The Love Sponge” Clem.

Media AS melaporkan, mereka mendapat maklumat daripada sumber berbeza bahawa kandungan dalam pita itu - yang menjadi bahan bukti dalam kes mahkamah Hogan - berisi perbualan menghina kaum lain.

Antara dialog dalam pita itu ialah kenyataan Hogan: "Saya rasa kita semua ada sedikit rasis." Hogan juga berkali-kali menggunakan istilah Nigga (merujuk kepada orang kulit hitam).

Terbiasa berbahasa kesat

Perkembangan itu didedahkan ketika Hogan bersedia mencabar rangkaian media dalam talian, Gawker Media yang menuntut penggusti itu membayar AS$100 juta (RM381 juta) di mahkamah Florida.

Dalam kenyataan media semalam, Hogan memohon maaf atas komen dibuatnya.

“Lapan tahun lalu saya sering menggunakan bahasa kesat ketika bercakap. Saya tidak dapat menerima yang diri saya menggunakan bahasa kesat; malah tiada alasan untuknya. Saya minta maaf kerana melakukannya.

“Ini bukanlah diri saya sebenar. Saya percaya semua orang di dunia sangat penting dan tidak harus dilayan berbeza kerana kaum, jantina dan kepercayaan. Saya amat kecewa dengan diri saya kerana menggunakan bahasa kesat dan ia tidak selaras dengan kepercayaan saya,” katanya.

Hampir setiap rujukan mengenai Hogan didakwa dipadam dari laman sesawang WWE petang semalam, manakala barangan jualan yang bertemakan nama Hogan juga dihentikan dari kedai dalam talian.

Jurucakap WWE Annie Kruger mengesahkan kontrak Hogan ditamatkan. Bagaimanapun, katanya, organisasi masih belum dapat mengesahkan punca kejadian.

Kenyataan dimuat naik organisasi berkenaan menyatakan, WWE komited untuk meraikan individu dari semua latar belakang kerana kepelbagaian pekerjaan masing-masing dan peminat di seluruh dunia.


EmoticonEmoticon