jobs from my.neuvoo.com

29 Ogos, 2015

Diperdaya 'Datuk Mansor', gadis ditemui terkulai lemah di hutan Sedim

KULIM - Seorang remaja berumur 19 tahun yang berhasrat mendapatkan pekerjaan baru bergaji lumayan diperdaya lelaki berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Datuk Mansor oleh penduduk kampung.

Mangsa yang berasal dari Sungai Karangan, dipercayai mengenali Datuk Mansor menerusi aplikasi Wechat dan disebabkan terdesak untuk menukar pekerjaan, dia termakan tipu muslihat lelaki itu sehingga bersetuju bertemu suspek di Pusat Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim.

Mangsa bersendirian berjumpa suspek jam 4 petang dengan menaiki motosikal untuk melihat lombong bijih timah yang kononnya bakal menjadi tempat kerja baharunya kelak.

Bagaimanapun, kira-kira jam 8.30 malam, seorang ahli keluarga mangsa menerima SMS daripada mangsa memaklumkan dia diculik dan berada di dalam hutan.

“Dia SMS saya dua kali, mula-mula pukul 7 malam, beritahu dia ada di rumah kawannya dan kali kedua dia SMS pukul 8.30 malam memaklumkan dia diculik dan berada dalam hutan di Lata Sedim.

"Saya segera buat laporan polis dan meminta rakan-rakan untuk bersama mencari mangsa di sana,” kata ahli keluarga mangsa yang tidak mahu namanya disiarkan.

Seorang anggota Skuad Penyelamat Sedim, Johari Ibrahim, 44, berkata sebaik diberitahu pegawai Rela mengenai kehilangan seorang gadis, dia bergegas menuju ke kawasan Lata Air Riau.

“Saya bersama beberapa pemuda kampung masuk ke situ, tapi kami tidak temui sesiapa.

“Kira-kira 14 penduduk kampung kemudian meneruskan pencarian dan meredah semak melalui jalan simen di tapak lombong bijih timah lama dekat Kelian Along,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Johari, berbekalkan tiga lampu suluh, dia dan rakan-rakannya terus menjejaki suspek ke trek mendaki Gunung Inas, sejauh enam kilometer ke tengah rimba.

“Ketika di situ, kami terserempak suspek yang sedang menuruni bukit dengan menunggang motosikal.

Apabila disoal mengenai mangsa, suspek memaklumkan dia sedang mencari jalan keluar untuk meminta bantuan penduduk kampung mencari mangsa yang melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun, setelah didesak, suspek akhirnya bersetuju menunjukkan jalan ke tempat dia membawa mangsa di kawasan Gunung Inas.

“Kami tiba di sebatang banir kayu buruk berbentuk seperti tempurung, dan di dalamnya boleh muat tiga hingga empat orang. Lantai banir dilapik plastik merah selain ada beberapa batang lilin.

“Saya tanya mana budak perempuan itu, dia cakap budak perempuan itu sudah larikan diri,” katanya.

Kecekapan dan pengalaman skuad penyelamat serta penduduk kampung akhirnya berjaya menemui gadis tersebut yang tersandar lemah di sebatang pokok berhampiran Paya Cherok Kelian kira-kira jam 11.30 malam.

“Kami melaung nama gadis itu, dan hanya terdengar sekali saja dia sahut. Ketika ditemui, mangsa sedang bersandar pada pokok dan kelihatan tidak bermaya," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Mustakim Mohd Zani, 25, yang membonceng suspek untuk dibawa ke trak polis berkata suspek sering masuk ke rimba tersebut beberapa minggu lalu untuk membina tempat berehat.

“Saya pernah jumpa suspek sebelum ini, dan bertanya, dia kata masuk ke hutan buat pondok untuk berehat. Dia memang selalu ke hutan tapi tak sangka dia bawa lari anak dara orang.

“Sebelum ini pun memang ada kes libatkan dia bawa lari anak dara dan kanak -kanak tapi tak sampai ke dalam hutan, hanya kaki bukit.

Dia juga pernah beritahu akan buat perkara sama sampai tujuh kali kerana percaya angka itu bertuah baginya," kata Mustakim.

Dalam pada itu, pegawai bomba Mohd Hafiz Suhaimi berkata pihaknya berjaya mengeluarkan mangsa yang dibantu penduduk setempat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan beberapa anggota Rela yang bertugas pada jam 1 pagi sebelum mangsa dibawa oleh ambulans untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad mengesahkan kejadian dan berkata suspek mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan menipu, mencuri dan mencabul.

“Hasil soal siasat, mangsa menceritakan dia diugut suspek dengan menggunakan parang dan dipaksa mengikut suspek sampai ke dalam hutan sebelum dicabul.
“Mangsa yang tidak tahan diperlakukan begitu bertindak memadamkan lilin sebelum melarikan diri ke dalam hutan.

"Dengan menggunakan telefon bimbit yang dibawa, mangsa sempat mengirim SMS kepada keluarganya dan menelefon talian kecemasan 999," katanya.


EmoticonEmoticon