jobs from my.neuvoo.com

22 Ogos, 2015

GHB Gerakan Munafik Pecah Belahkan Islam – PAS

KUALA LUMPUR – Gerakan Harapan Baru (GHB) ibarat kerajaan Rom yang pernah ‘mendalangi’ musuh Islam dengan menaja penubuhan sebuah masjid di Madinah menerusi golongan munafik bagi memecah-belahkan kesatuan umat Islam waktu itu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sejarah penting umat Islam itu sewajarnya menjadi pengajaran bagi mereka yang bersedia untuk bersekongkol dengan pihak bagi melemahkan Islam di negara ini.

“Tidak mungkin musuh Islam sudi membantu jika tiada agendan muslihat dan kepentingan tersirat,” tegas beliau dalam satu kenyataan rasmi media di sini pada Khamis.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini mengumumkan sebuah parti Islam baharu iaitu GHB yang akan ditubuhkan sebagai pengganti kepada PAS dalam gabungan parti-parti pembangkang untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak.

Sementara itu, kata Mohd. Khairuddin, kehilangan beberapa pimpinan dan ahli PAS sebenarnya memperingatkan parti tersebut dengan prosedur tapisan yang pernah dilakukan oleh Allah S.W.T terhadap tentera Talut yang mahu memerangi Jalut.

Menurutnya, dalam perjalanan perang, tentera Talut bagaimanapun diuji dengan sebatang sungai kerana mereka tidak dibenarkan minum air sungai itu melainkan sekadar secebuk tangan.

Kata beliau, majoriti tentera tersebut langsung gagal dalam ujian berkenaan lalu digugurkan dari barisan tentera sehinggakan hanya tinggal sekumpulan kecil sahaja kalangan mereka.

“Menurut pakar dikenali nama al-Sudi, golongan lemah iman itu berjumlah 3,680 orang. Manakala golongan kuat iman hanyalah 310 orang sebagaimana bilangan tentera Badar. Namun, kesabaran menjadi sebab untuk mereka menang akhirnya mengalahkan Jalut,” katanya.

Beliau turut memberi contoh peristiwa perang Uhud apabila Nabi Muhammad SAW keluar dengan tentera Islam seramai seribu orang tetapi di pertengahan jalan, suku daripada jumlah tentera itu mengundurkan diri secara tiba-tiba dengan pelbagai alasan diketuai `kepala’ munafik, Abdullah Ubai Salul.

“Tujuannya untuk melemahkan semangat baki tentera Islam. Namun, baginda meneruskan juga perjuangan dan hasilnya kemenangan pada pusingan pertama perang telah memihak kepada baginda,” katanya.

Semalam, kira-kira 400 ahli dan pemimpin PAS dipercayai golongan pro-Anwar Ibrahim dari tiga kawasan Parlimen PAS di Selangor mengumumkan peletakan jawatan sama ada dalam parti atau jawatan yang mereka sandang kini.

Ia termasuk 183 ahli dari kawasan Kota Raja, 227 ahli kawasan Kapar dan tiga orang dari kawasan Klang yang akan menyertai GHB. – MYNEWSHUB.CC


EmoticonEmoticon