jobs from my.neuvoo.com

15 Ogos, 2015

Janda tawar seks kepada anggota polis

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat selepas mengaku bersalah menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan Suhaili Abu Kasim, 35, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap tiga hari lepas.

Suhaili, seorang peniaga kecil, didakwa menawarkan khidmat seks kepada anggota polis itu di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Dang Wangi di sini kira-kira 1.50 tengah hari pada 11 Ogos.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Suhaili memohon hukuman ringan atas alasan dia menghidap penyakit asma selain perlu menanggung seorang anak berusia tujuh tahun yang dijaga jirannya dan menjaga ibu bapanya yang uzur.

"Saya minta maaf, saya buat kerja ini kerana saya orang susah dan kesempitan hidup. Janganlah penjara saya. Saya lebih rela membayar denda daripada dihukum penjara," kata Suhaili sambil menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh.

Ashraf Rezal berkata mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan ancaman kepada masyarakat.

Beliau memberitahu Suhaili bahawa alasan kesusahan hidup tidak boleh dijadikan faktor untuk tertuduh berbuat demikian.

"Jangan ulangi lagi kesalahan ini. Saya doakan agar anak kamu dijaga dengan baik oleh jiran," kata majistret itu.

Di mahkamah sama, seorang pemotong rumput dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memiliki motosikal curi, lapan bulan lepas.
Ashraf Rezal menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Ramani, 37, dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Jun lepas.

Dia dituduh memiliki motosikal curi milik Muhammad Saidi Abu Hassan, 28, di kawasan Jalan Lengkok Abdullah, Brickfields di sini pada 2.30 petang 24 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.


EmoticonEmoticon