jobs from my.neuvoo.com

08 Ogos, 2015

Kajian: Vaping 95 peratus 'lebih selamat' berbanding rokok - pakar

KUALA LUMPUR: Persoalan adakah penggunaan rokok elektronik membahayakan kesihatan atau benar-benar dapat membantu mereka yang ingin meninggalkan rokok tembakau masih menjadi perdebatan para saintis dan pakar perubatan sedunia.

Namun beberapa kajian perubatan terbaharu mula menunjukkan kesan positif penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai 'vaping.'

Kajian dikendalikan pakar kardiologi Dr Konstantinos Farsalinos yang melihat dengan lebih dekat bagaimana alat gantian tembakau yang semakin popular itu digunakan dalam situasi sebenar.

Hasil kajian yang diterbitkan di dalam jurnal dalam talian pada Mei 2015 bertajuk "Addiction" mendapati e-rokok generasi ketiga (peranti dengan penggunaan kuasa bateri yang boleh dilaras) mampu menghasilkan formaldehid yang boleh menyebabkan kanser, namun ia hanya berlaku dalam keadaan "ekstrem".

Secara umumnya, kandungan cecair e-rokok terdiri daripada propilena glikol, gliserol, atau kedua-duanya, ditambah dengan nikotin dan bahan kimia perisa.

Formaldehid terbentuk hasil daripada tindak balas propilena glikol dan gliserol ketika pengewapan.

Kajian Farsalinos mendapati apabila peranti itu menggunakan kuasa terlalu tinggi, ia akan menghasilkan wap kering atau "dry puff."

"Namun wap kering itu akan menyebabkan rasa kurang menyenangkan dalam mulut perokok, sekali gus menyebabkan mereka enggan menghisap 'vape' dalam keadaan berkenaan," katanya.

Tambahnya, biarpun formaldehid turut dibebaskan menerusi e-rokok, kadarnya jauh lebih rendah berbanding rokok tembakau.

Pengarah Unit Kajian Kebergantungan Tembakau, Barts And The London School Of Medicine And Dentistry, Prof Peter Hajek yang menilai kajian Farsalinos mengesahkan vaping adalah 95 peratus lebih selamat daripada merokok.

"Vapers tidak terdedah kepada tahap formaldehid yang membahayakan. Berdasarkan bukti-bukti didedahkan, saya mendapati e-rokok sekurang-kurangnya 95% lebih selamat daripada merokok. Perokok perlu digalakkan untuk beralih kepada vaping," katanya.

Malah ada kalangan perokok yang mendakwa kesihatan mereka bertambah baik selepas beralih kepada alat itu.

Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respitori Prof Datuk Dr Abdul Razak Mutallif menjelaskan kandungan nikotin yang rendah dalam e-rokok mungkin menjadi penyebab mereka yang beralih daripada rokok tembakau mendapati selera mereka mungkin bertambah.

"Selalunya perokok amat kurus dan tidak mempunyai selera makan. Jadi apabila berhenti merokok, mereka akan mendapati selera mereka bertambah kerana kandungan nikotinnya telah berkurangan," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Dr Abdul Razak melihat perbezaan ketara antara rokok dan vape adalah kewujudan tar yang membahayakan kesihatan.

"Kalau rokok biasa (tembakau) ini ada dua kandungan penting iaitu nikotin dan tar. Sebenarnya yang bahaya itu adalah tar yang menyebabkan kanser paru-paru, kanser buah pinggang, sakit jantung dan sebagainya.

"Bagi nikotin, fungsinya hanya ada satu sahaja, untuk menyebabkan ketagihan. Jadi kalau berbanding rokok, e-rokok memang ada kebaikan kerana ia tidak mengandungi tar, hanya nikotin sahaja dan kandungan lain seperti formaldehid, glikol dan perisa," jelasnya.
Namun di sebalik trend yang kian meningkat, tegas beliau, kurang kawal selia terhadap vaping dibimbangi mengundang masalah lain.

"Kebanyakan orang yang beli e-rokok ini, kita tidak tahu apa kandungannya, siapa pembuatnya dan apa yang dimasukkan dalam kartrij berkenaan.

"Ada orang cakap boleh masuk syabu, ganja, dadah lain untuk bagi dia ketagih dan mungkin juga ada perisa-perisa yang berbahaya pada jangka masa panjang. Itu yang kami bimbang sekarang," kata Dr Abdul Razak.

Berdasarkan kaji selidik Factsasia.org, 83 peratus perokok di Malaysia menyifatkan e-rokok sebagai alternatif lebih baik berbanding rokok dan ingin melihat penggunaan produk itu dikawal selia selain mahu akses lebih meluas kepada produk berkenaan.


EmoticonEmoticon