jobs from my.neuvoo.com

08 Ogos, 2015

Menyamar polis, rogol bergilir wanita dalam hotel bajet

KUALA LUMPUR: Dua rakan karib yang menyamar polis dan merogol pelajar dua tahun lalu menerima pembalasan apabila masing-masing dihukum penjara tujuh tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman itu ke atas Muzizat Ab Manan, 39, bekas pengawal keselamatan dan Ahmad Dashila Idris, 27, bekas kelindan lori setelah kedua-duanya mengaku bersalah merogol penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berusia 18 tahun 1 bulan.

Kedua-dua tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah selepas mereka dipanggil untuk membela diri pada 4 Ogos lalu. Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan.

Muzizat dan Ahmad Dashila didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel bajet di Jalan Bandar Rawang, Gombak, di sini antara 6 petang hingga 4.30 pagi, 14 Sept 2013, mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 16 Sept 2013.

Pada hari kejadian kedua-dua tertuduh telah menyamar sebagai anggota polis dan merogol mangsa secara bergilir-gilir ketika mangsa ke hotel itu untuk bertemu teman lelakinya.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Muzizat selepas mengaku bersalah melakukan persetubuhan luar tabii terhadap pelajar itu pada masa, tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Mahkamah memerintahkan Muzizat menjalani hukuman itu secara serentak.

Ketika rayuan, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Mohd Yusoff Ag Lah memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan kedua-duanya adalah penanggung utama keluarga dan mempunyai anak yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd Zawawi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan alasan pesalah seksual seharusnya diasingkan daripada orang awam dan mangsa telah diperdaya oleh tertuduh yang mengaku sebagai anggota polis. - Bernama


EmoticonEmoticon