jobs from my.neuvoo.com

02 Ogos, 2015

#MH370: Penduduk dakwa pernah jumpa kerusi pesawat tiga bulan lalu

PULAU REUNION: Belum pun reda dengan berita penemuan serpihan pesawat Boeing 777 yang dipercayai milik MH370, masyarakat dunia digemparkan lagi dengan penemuan kerusi dan pintu kapal terbang di Pulau Reunion dekat Lautan Hindi.

Seorang pembersih pantai di Pulau Reunion dekat Lautan Hindi mengesahkan pernah menjumpai kerusi berwarna biru tiga bulan lalu ketika sedang melakukan rutin hariannya - membersihkan kawasan pantai berkenaan.

Nicolas Ferrier menceritakan, ketika menjumpai objek itu, ia dianggap sama seperti sampah-sampah lain yang hanyut dan terdampar di kawasan terbabit.

"Saya tidak menyedari kepentingan mengenai kerusi tersebut hinggalah pada hari Rabu lalu menyedarkan saya," jelas Ferrier yang dipetik sebagai berkata kepada portal The Telegraph.

Katanya, objek yang ditemui awal Mei itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa kecuali isterinya hingga penemuan fleperon pada Rabu itu membuatkannya untuk membuka mulut.

"Ia merupakan sebahagian daripada rutin seharian saya untuk membersihkan kawasan pantai ini.

"Saya tidak tahu langsung apa signifikannya penemuan objek (kerusi) itu. Banyak barang serta objek lain yang terdampar di kawasan ini," ceritanya sambil memberitahu, tiada siapa yang berani untuk masuk ke kawasan yang berombak kuat dan penuh dengan ikan jerung itu.

Ferrier turut memberitahu, ada menjumpai beberapa beg pakai yang dihanyutkan.

"Saya membakarnya. Itulah kerja saya - pungut sampah dan kemudian membakarnya," jawabnya apabila ditanya apakah tindakan yang diambil ketika menjumpai beg berkenaan.

Dia juga mendakwa pernah menjumpai objek yang didakwa menyerupai sama seperti fleperon yang dijumpai Rabu lalu itu terdampar di pantai tersebut.

"Sama seperti kerusi itu, saya tidak tahu apakah ia.

"Saya duduk atasnya serta gunakannya sebagai meja. Saya tidak menyedari hal itu hingga saya melihat berita mengenai penemuan objek berkenaan," ceritanya lagi.

Dakwaan Ferrier itu dikuatkan lagi dengan seorang lagi penduduk tempatan yang hanya dikenali sebagai Isabelle.

Isabelle mendakwa turut menemui objek sama ketika berjalan di pantai berkenaan bersama anak lelakinya pada Mei lalu.

"Ketika itu baru permulaan cuti, sekitar 10 Mei.

"Saya sedang berjalan dengan anak saya, Krishna. Kemudian dari tempat kami berdiri, dia (Krishna) ternampak satu objek dan menjerit.

" Ibu lihat! Ia kelihat seperti sayap kapal terbang," jerit Krisha katanya.

Anak lelakinya yang berusia 10 tahun itu kemudian menghampiri objek yang kelihatan seperti beg pakaian.

Krisha berjaya membuka beg berkenaan.

Dia turut menjumpai sebuah lagi beg pakaian yang tertimbus di dalam pasir.

Namun, kerana keadaan ombak yang semakin tinggi, memaksa Isabelle beredar dari tempat itu.

Mereka kemudian pulang ke rumah tanpa mengisahkan hal tersebut hingga berita penemuan fleperon Boeing 777 itu pada Rabu.

Dalam pada itu, Sky News melaporkan satu lagi penemuan objek baru di kawasan pantai itu.

Menurut sumber agensi berkenaan, objek yang dipercayai pintu pesawat itu ditemui di lokasi berbeza tempat penemuan fleperon pada Rabu itu.

Ia dijumpai berdekatan lapangan terbang di Saint Andre.


EmoticonEmoticon