jobs from my.neuvoo.com

10 Ogos, 2015

Sikap rakyat punca BN terus berkuasa, kata Mat Sabu

Pengerusi Protem Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu berucap pada majlis rumah terbuka ketua menteri pulau pinang di Seberang Jaya, malam tadi.
Sikap rakyat yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) terus berada dalam kerajaan, di sebalik skandal demi skandal, kata Pengerusi Protem Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, keadaan itu menjadi punca negara kini bermasalah dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kenapa 1MDB berlaku? Mengapa ada derma RM2.6 bilion? Itu cuma 1 akaun yang kita tahu. Mungkin ada lagi.

“Bagaimana boleh jadi begini? Sebab sikap rakyat,” katanya di depan khalayak ramai di majlis rumah terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Seberang Jaya, malam tadi.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu menyenaraikan skandal yang melanda Malaysia sejak beberapa tahun lalu – berbilion ringgit Bank Bumiputera (BMF) pada 1980-an, Perwaja Steel yang merekodkan kerugian hampir RM10 bilion, Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menyebabkan kerajaan membelanjakan RM12.5 bilion.

Beliau berkata pembangkang ke sana sini bercakap mengenai skandal itu kepada rakyat, tetapi apabila tiba pilihan raya umum, BN mengekalkan kuasanya di kerajaan persekutuan.

Katanya, sikap rakyat Malaysia memungkinkan mereka yang berkuasa mengambil kesempatan terhadap keadaan, percaya rakyat akan terus mengundi BN.

“Jadi sekarang kita ada 1MDB, yang (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tanya di mana wang itu (hutang RM42 bilion).

“Orang tidak boleh cuba tipu Dr Mahathir. Dia sangat berpengalaman. Jadi apabila dia masuk campur, itu maknanya ada yang tidak kena. Lebih pun, dia ada 22 tahun pengalaman sebagai PM,” katanya.

Mat Sabu juga bercakap mengenai pendedahan The Wall Street Journal baru-baru ini mengenai RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Raak, dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, susulan pendedahan itu diikuti dengan siasatan menyaksikan polis menyiasat SPRM kerana tuduhan membocorkan maklumat, sama seperti filem Hindustan, mengusik pemimpin PAS yang membuat kenyataan tidak logik Najib guna akaun peribadi untuk terima wang itu.

Mat Sabu berkata, di negara lain, rakyat pasti memaksa pemimpin kerajaan meletak jawatan dan berdepan akibat perbuatan mereka, tetapi tidak di Malaysia.

“Salah rakyat kerana mereka percaya jika Umno jatuh, orang Cina akan perintah Malaysia. Apa akan jadi pada orang Melayu ketika itu nanti?,” soalnya.

Beliau berkata, walaupun Pulau Pinang ditadbir DAP, parti didominasi orang Cina bersama PKR, beliau menyokong pentadbirannya kerana integriti dan pencapaian.

Katanya, parti pembangkang perlu pakatan baharu untuk berdepan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana gabungan itu satu-satunya cara menawan Putrajaya, berdasarkan kepada keputusan yang memberangsangkan daripada 2 PRU terakhir.

“Ini sebabnya kita perlu ada gabungan baharu tanpa PAS. Jika PAS berkawan dengan Umno sekarang, maka anda kena keluar,” katanya.

Mat Sabu adalah sebahagian daripada GHB, kumpulan serpihan terdiri daripada pemimpin progresif dalam PAS dan penyokong mereka daripada kumpulan masyarakat sivil. GHB pada masa ini sedang dalam proses ditubuhkan sebagai parti politik baharu untuk menyertai PKR dan DAP. – 10 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sikap-rakyat-punca-bn-terus-berkuasa-kata-mat-sabu#sthash.f1nojHJX.dpuf



EmoticonEmoticon