jobs from my.neuvoo.com

22 Ogos, 2015

Trofi Liga Perdana 2015 milik Kedah, Pulau Pinang ke Liga Super 2016

PEMAIN Kedah, Chidi Edeh melakukan aksi akrobatik selepas menjaringkan gol ke gawang DRB Hicom dalam perlawanan akhir Liga Perdana di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Kedah gah menjulang trofi Liga Perdana 2015 selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas DRB Hicom, malam tadi ketika T-Team terpaksa gigit jari apabila tumbang kepada Kuantan FA.

Kemenangan menyaksikan Kedah yang hanya memerlukan satu mata untuk dinobat juara tidak mampu lagi dicabar sekali gus kembali beraksi dalam saingan Liga Super, musim depan. Mengiringi Kedah yang dibimbing jurulatih, Tan Cheng Hoe ke Liga Super ialah Pulau Pinang yang melakar kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC di laman lawan.

Begitupun malang bagi T-Team apabila kemenangan yang diharapkan bertukar mimpi ngeri apabila tewas 2-1 kepada Kuantan FA sekali gus menamatkan kempen musim ini di kedudukan ketiga.

Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kedah jelas tidak mahu menghampakan ribuan penyokong yang hadir dan meledak gol seawal minit ketiga menerusi jaringan pemain import, Sandro da Silva yang turut meledak hatrik pada perlawanan itu.

Begitupun, kedudukan pantas disamakan DRB Hicom menerusi jaringan Ivan Babic, empat minit kemudian sebelum Kedah mengganas dengan menambah dua lagi gol sebelum babak pertama berakhir. Gol kedua Kedah dijaringkan Chidi Edeh pada minit ke-9 diikuti jaringan kedua Silva pada minit ke-33.

Edeh kemudian menjaringkan gol keempat Kedah sebelum Silva melengkapkan hatriknya pada minit ke-80.

Di Stadium Darul Makmur, hasrat T-Team untuk kembali ke saingan Liga Super musim depan terkubur selepas mencatat kekalahan mengejutkan kepada Kuantan FA. Kuantan FA jelas tidak mahu mensia-siakan aksi di laman sendiri dengan mendahului 2-0 berakhir babak pertama menerusi jaringan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-17 diikuti gol Milan Purovic pada minit ke-22. Kebangkitan yang diharapkan T-Team pada babak kedua tidak kesampaian apabila hanya mampu meledak satu gol.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Pulau Pinang turut meraikan kejayaan kembali ke saingan elit bola sepak Malaysia dengan kedua-dua jaringan diledakkan pada kedua-dua masa permainan. Gol pertama Pulau Pinang dijaringkan Azinee Taib seawal minit ke-8 diikuti gol Hilton Moreira pada minit ke-81. Dalam pada itu, Kuala Lumpur mengiringi KL SPA ke saingan Liga FAM musim depan selepas mencatat kekalahan 2-1 kepada Negeri Sembilan.


EmoticonEmoticon