jobs from my.neuvoo.com

14 September, 2015

Air Mani Gajah Buat ‘Penunduk’

MAHU kelihatan beraura dan dipuja lebih ramai wanita, segelintir golongan lelaki di negara ini dikesan mengamalkan pemakaian cincin batu permata air mani gajah sebagai ilmu pengasih.

Cara untuk mendapatkan lebih keberkesanan, batu yang diikat pada cincin itu dikatakan perlu direndam ke dalam air zamzam terlebih dahulu dan dibacakan selawat serta diniatkan tujuan dikasihi, disayangi dan dicintai, lalu dipakaikan ke jari manis pada sebelah tangan kanan.

Cincin itu dibenarkan dibawa masuk ke tandas tetapi tidak boleh dipakai pada jari di tangan kiri yang digunakan untuk beristinjak.

Cerita yang diperoleh daripada seorang penjual batu permata dan ubatan tradisional di sebuah pasar di sini, menimbulkan pelbagai persoalan, terutama tentang hukum si pemakai dan tujuan mereka memakainya.

Adakah ia khurafat untuk mempercayainya, apatah lagi mengamalkannya sehingga mengenakan pada anggota badan umat Islam.

Ganggu akidah

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan, memberi nilai tambah kepada sesuatu batu yang disebut air mani gajah sebagai batu yang mampu membuatkan seseorang itu dicintai, dikasihi atau perniagaan menjadi semakin laris serta sebagainya, sebenarnya akan mengganggu akidah.

“Air mani itu sendiri tidak najis tetapi berbalik kepada tujuan si pemakai cincin air mani gajah tersebut.

“Kita dibenarkan memakai perhiasan seperti cincin dan dibolehkan bagi tujuan itu, namun bukan pula untuk tujuan pengasih mahupun pelaris.

“Sama juga kalau memakai cincin delima atau zamrud yang ada pelaris, ia tidak berapa sesuai dengan kehendak agama dan sudah lari daripada ajaran Islam sebenar, malah tidak tepat serta boleh mengelirukan serta menyeleweng,” katanya.

Seperti penulis, beliau turut membayangkan keberanian pencari air mani gajah yang masuk ke dalam hutan belantara dan bertembung dengan sepasang gajah yang sedang kemaruk bercinta.

Sedang dia menunggu untuk mengambil benih binatang besar tersebut, berkemungkinan orang itu menemui ajalnya di situ apabila digulingkan binatang liar tersebut sebelum sempat membawa air mani tersebut pulang.

“Gajah cukup sensitif, kalau duk menunggu pada masa tu, rasanya ‘dighembah’ (dibelasah) gajah.

“Saya tidak nampak dengan jelas, kalaulah mereka dapat sekalipun, banyak mana sangat sampai boleh dijual.

“Macam besi dibuat keris, ada kegunaannya, air boleh jirus pokok tetapi tidaklah sampai boleh melariskan. Jual laris apabila masakan itu sedap. Ini tidak, kita bimbang, takut berkemungkinan ada unsur penipuan,” katanya.

Harga cecah RM2,000 untuk sebentuk cincin

Air mani gajah boleh didapati di pasaran dan dijual secara terbuka dalam bentuk ketulan pelbagai saiz dengan harga serendah RM60.

Air mani yang mengeras seperti batu itu akan dibawa ke kedai cincin untuk dicanai kepada bahagian yang lebih kecil dan diikat kepada cincin mengikut cita rasa pelanggan.

Pada peringkat ini, harganya akan menjadi lebih mahal, boleh mencapai sehingga RM2,000 bagi sebentuk cincin.

Mohamad Shukri berkata, umat Islam perlu berwaspada, jangan sampai terperangkap dalam unsur penipuan. Jika terbukti menipu, pihak berkuasa perlu bertindak, namun sejauh mana mereka boleh mengambil tindakan.

“Masyarakat sendiri yang perlu menilai perkara itu, ditambah dengan perkembangan pada zaman moden dan pemikiran serba maju, seharusnya menilai sesuatu biar ada kemunasabahannya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan umat Islam berhati-hati pada kepercayaan yang khurafat, buat penilaian secara rasional supaya tidak mudah terperangkap dengan penipuan.

“Kalau kita fikir air mani gajah boleh kuatkan seks, mungkin ada kebenaran dengan merujuk kekuatan gajah. Ini tidak, dari segi saintifik, daripada mani gajah, wanita boleh terpikat, macam mana?”, katanya.

Paling laris sejak 1990

Seorang pencanai permata, Mohd Rafizi Hassan, 30, berkata, enam tahun menyambung perniagaan milik mertua di kawasan tempat letak kereta, bangunan Jalan Putera Semerak, di sini, batu permata daripada air mani gajah adalah yang paling laris sejak 1990 hingga kini.

“Pada mula-mula diperkenalkan, batu ini sangat popular dalam kalangan peminat cincin permata dan mampu jual sehingga 20 hingga 30 bentuk sehari. Saya hanya menjual kepada pelanggan dan tidak mengambil pusing sama ada ia tulen atau tidak.

“Kebanyakan pelanggan yang datang lebih arif dan berpengetahuan tentang ketulenan batu air mani gajah yang dimahukan. Mereka datang daripada seluruh negeri termasuk Terengganu, Johor, Kuala Lumpur dan Kedah.

“Tidak kurang juga yang datang dari Singapura dan Indonesia serta negara jiran, Thailand untuk mendapatkan batu yang tulen daripada air mani binatang tersebut,” katanya.

Katanya, batu air mani gajah memiliki kelas-kelasnya tersendiri dan nilainya akan semakin tinggi jika terdapat jalur-jalur dikatakan darah pada warna batu kekuningan serta warna lebih pekat.

Seorang peminat cincin, Husni Wadi Hussin, 36, pula berkata, dia memakai cincin air mani gajah sekadar perhiasan, tetapi mengakui ramai rakannya menegur dia memiliki aura tersendiri dan mempunyai ramai kenalan.

“Saya dapat batu ini hadiah daripada bapa seorang rakan dan pernah ditawarkan RM600 oleh seorang kawan, tetapi saya tidak berniat untuk menjualnya kerana sayang batu ini, sebab ia pemberian daripada seseorang,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga tudung lelaki berusia 38 tahun pula mengakui menyimpan batu air mani gajah untuk tujuan melariskan perniagaannya yang diusahakan sejak enam tahun lalu.

“Ikut kata orang, ia pelaris, tetapi semua dengan izin ALLAH SWT. Kalau malas, asyik tidur, buat kerja apa pun tidak jadi, niaga pun tidak laku juga,” katanya. – Sinar Harian Online


EmoticonEmoticon