jobs from my.neuvoo.com

06 September, 2015

Bai’ah PAS: Jangan berpegang satu pandangan - Mat Sabu

SHAH ALAM – Semua ahli dan pimpinan Parti Pekerja Malaysia khususnya yang berasal dari Pas diingatkan supaya tidak hanya berpegang kepada satu pandangan sahaja dalam menghadapi isu bai’ah.

Demikian kata pengerusinya, Mohamad Sabu sambil menegaskan, mereka tidak perlu melatah apabila perkara tersebut digembar-gemburkan, sebaliknya perlu mengambil pelbagai pandangan ulama lain sama ada dalam mahupun luar negara.

“Dalam menghadapi isu ini, saya menasihatkan ahli supaya berpeganglah kepada pandangan mana-mana ulama atau mazhab atau perbezaan pandangan selagi ia ada kelonggaran.

“Bagi saya, pandangan Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin dan juga pandangan daripada Mufti Perlis dan Pulau Pinang harus diambil kira dalam hal bai'ah ini termasuk isu menceraikan isteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pas Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen dan Adun Pas Kelantan supaya merujuk semula sumpah bai'ah talak tiga ke atas isteri masing-masing sekiranya berhasrat meninggalkan parti itu dan menyertai PPM (sebelum itu dikenali sebagai Harapan Baru).

Menurutnya, sumpah bai'ah bukan perkara baharu dan telah lama menjadi amalan parti itu di Kelantan yang mana semua wakil rakyat, sama ada di peringkat Parlimen atau negeri, mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya Pas.

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu juga berkata, ahli digesa berpegang kepada pandangan ulama yang paling ringan yang boleh diterima pakai dalam isu bai’ah.

“Saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini, agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah, dan berpeganglah kepada pandangan yang paling ringan di antara pandangan-pandangan ulama yang boleh diterima pakai.

“Sesungguhnya, ini adalah sebahagian ujian kecil yang sedang kita lalui bersama, dan banyak lagi ujian besar yang kita akan hadapi,” katanya lagi.


EmoticonEmoticon