jobs from my.neuvoo.com

06 September, 2015

Bai'ah Pas: Majlis Fatwa kena bersidang - Dr Mariah

KOTA BHARU - Ketua Wanita, Parti Pekerja Malaysia, Dr Siti Mariah Mahmud mencadangkan satu perbincangan dilakukan Majlis Fatwa berkenaan tindakan Pas Kelantan yang memasukkan ungkapan taklik talak tiga dalam lafaz bai'ah parti itu.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dilakukan bagi menjaga hak-hak keistimewaan agama Islam daripada dipermainkan dan pelaksanaan sebelum ini juga didakwa tidak pernah dipersetujui di peringkat pusat.

"Dalam kes Dr. Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai) sekarang sudah jadi polemik, kita berasa sedih juga kerana tidak ada kesepakatan dari segi pendapat alim ulama.

"Sepatutnya kita buat satu perbincangan dan tengok apa pendapat ulama terbanyak, bukan ulama Pas sahaja. Majlis Fatwa patut bersidang dan ambil tindakan kerana ini mungkin bercanggah dengan amalan mazhab Imam Shafie," katanya kepada media selepas menghadiri Sesi Dialog dan Penerangan Wanita Harapan Baru, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau mengakui terpaksa ‘mungkir janji’ dan langgar bai’ah yang pernah dilafazkan sebelum ini kerana yakin parti baru itu menjanjikan perjuangan yang lebih baik berbanding Pas.

Walaupun berat untuk berhijrah, namun berlandaskan hadis dalam Kitab Sahih Muslim yang menyebut, “barang siapa bersumpah tetapi bertemu perkara lebih baik maka hendaklah dia melakukan hal itu dan membayar kafarah”, beliau nekad membuat keputusan meninggalkan Pas.

"Maknanya dalam Islam, ada jalan keluar apabila kita mungkir janji. Dalam bab dosa, itu antara kita dengan ALLAH SWT. Kita istighfar, bertaubat. ALLAH sahaja yang tahu hati kita," katanya lagi.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Kota Raja itu turut mendedahkan Pas kini didakwa bagaikan merancang misi Ops Pagar bagi menghalang muslimatnya menghadiri mana-mana majlis anjuran parti terbabit.

Beliau berkata, Pas didakwa bertindak demikian kemungkinan disebabkan melihat kepada sambutan yang diterima parti yang bakal menggunakan nama Parti Amanah Negara itu, namun tindakan tersebut menyerupai Umno.

"Saya tidak jangkakan sambutan baik daripada golongan wanita di sini termasuk juga muslimat Pas. Apa yang hendak dikatakan, kami yakin dengan perjuangan dan hujah yang dibawa boleh mengegarkan Pas.

"Hasil maklumat, kita dapat tahu sesiapa yang hadir sekiranya tergolong sebagai memegang jawatan dalam politik atau kerja dengan kerajaan boleh dipecat. Ini adalah sama dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini,”katanya.


EmoticonEmoticon