jobs from my.neuvoo.com

06 September, 2015

Bai'ah PAS: Saya kasihankan isteri wakil rakyat Pas - Dr Ramlah

SHAH ALAM - Pemerhati politik, Datuk Dr Ramlah Adam menyifatkan tindakan Pas menjadikan ‘talak’ sebagai sebahagian daripada kandungan bai'ah untuk menjadi calon pilihan raya parti itu kini menjadi umpama senjata makan tuan.

Bercakap kepada portal Malaysiakini, Ramlah juga berpendapat tindakan tersebut memperlihatkan isteri pemimpin Pas ibarat barang mainan yang boleh ditukar ganti, selain direndahkan martabat mereka.

“Saya sedih bagi pihak mereka (isteri wakil rakyat Pas). Mereka seperti barang, seolah-olah dijadikan alat politik.

“Saya kasihan pada isteri wakil rakyat Pas. Mereka ini jadi barang permainan, menjadi tukar ganti. Seolah-olah tidak ada harga diri, tidak ada perasaan dan tidak boleh membuat keputusan sendiri serta perkara ini paling merendahkan martabat wanita,” beliau dipetik sebagai berkata.

Isu bai'ah kembali hangat diperkatakan apabila sekumpulan bekas pemimpin kanan Pas mengumumkan menyertai Parti Pekerja Malaysia (yang sebelum ini dipanggil Gerakan Harapan Baru).

Bagi negeri Kelantan, bai'ah yang dilafazkan calon pilihan raya negeri itu didakwa mengandungi cerai talak tiga seperti kes melibatkan Ahli Parlimen Kuala Krai, Kelantan, Dr Hatta Ramli.

Mengulas lanjut, Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia di Universiti Malaysia Perlis itu berkata, keadaan menjadi lebih malang apabila si isteri tidak mempunyai kuasa untuk menghalang suami mereka daripada berbai'ah.

“Saya percaya mereka tidak terlibat dalam bai'ah itu, tetapi bai'ah ditandatangani dan menjadi dokumen rasmi. Kalau dibawa ke mahkamah pun ia akan diterima.

“Isteri tidak tahu apa-apa dan kalau mereka tahu sekali pun mereka tidak ada kuasa sebab yang buat keputusan adalah parti dan juga suami dia,” katanya lagi.

Bagaimanapun, menurut Ramlah, isteri wakil rakyat Pas boleh merujuk perkara tersebut ke mahkamah bagi mendapatkan kepastian berhubung status mereka.

“Kalau mereka akur dan percaya ia betul, kita tidak boleh berbuat apa. Terpulanglah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan IBrahim Tuan Man hari ini menggesa semua pihak khususnya ahli mereka yang menyertai Parti Pekerja Malaysia supaya berhenti daripada mempolemikkan isu bai'ah talak tiga ke atas isteri masing-masing dan menyerahkan kepada pihak berkuasa agama dalam menentukan hukum.

Ujarnya, mereka yang terbabit meninggalkan parti itu perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah dalam memutuskan hukum sumpah bai’ah tersebut kerana ia melibatkan hukum syarak.


EmoticonEmoticon