jobs from my.neuvoo.com

07 September, 2015

Bai'ah PAS: Tidak Terlepas Laknat Allah Walaupun Kafarah – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (PAN) tidak boleh terlepas daripada bai’ah yang dilafazkan mereka semasa mahu menjadi calon parti itu walaupun dengan melakukan kafarah.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bekas pemimpin PAS terbabit tetap tidak boleh terlepas daripada janji dan ikrar yang telah mereka buat atas nama Allah S.W.T.

“Seseorang itu boleh membayar kafarah apabila melanggar sumpah, namun ia bukan bermakna terlepas dari janji dan ikrarnya.

“Saya berdoa semoga semua kita terlepas dari kemurkaan dan laknat Allah, para malaikat dan seluruh orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sebelum ini menegaskan perkahwinan bekas pemimpin parti itu terbubar dengan talak tiga secara automatik kerana melanggar baiah yang pernah dilafazkannya dengan menyertai parti lain.

Malah, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut menasihati wakil rakyat PAS negeri itu yang menyertai parti lain merujuk status perkahwinan di mahkamah syariah.

Ia ekoran dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat PAS yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Bekas pemimpin-pemimpin PAS yang menyertai PAN terbabit bagaimanapun tidak mengambil peduli mengenai perkara itu sebaliknya menegaskan akan terus kekal bersama isteri.

Salah seorang mereka yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menganggap cara beliau menguruskan isu baiah adalah urusannya dengan Allah dan meminta pemimpin PAS tidak masuk campur.

Khalid turut meraikan lebih 40 penduduk dari kawasan parlimen Shah Alam dengan hidangan kari kambing, ayam masak merah, acar timun dan teh tarik, selain sumbangan wang tunai.

Ia kononnya adalah bentuk kafarah (tebus sumpah) yang dilakukan Abdul Khalid kerana melanggar baiah yang diucapkan sebelum menjadi calon pilihan raya PAS sebelum ini. – Mynewshub.cc


EmoticonEmoticon