jobs from my.neuvoo.com

02 September, 2015

Cerai talak tiga: Dr Hatta perlu rujuk Mahkamah Syariah - Ahmad Yakob

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli diminta merujuk ke Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan dalam isu bai'ah talak tiga yang dilafazkan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob.

Jelasnya, lafaz taklik yang dibuat Dr. Hatta itu terpakai sekali gus menganggap hubungan beliau dengan isterinya terbatal.

"Sudah jelas dalam lafaz bai'ah dan taklik sebelum ini mengatakan mana-mana pemimpin PAS Kelantan yang keluar parti dan menyertai parti lain, lafaz berkenaan akan terpakai secara automatik.

"Setiausaha Agung akan hantar surat kepada beliau yang dilampirkan bersama bai'ah yang diucap, menyatakan bahawa taklik yang telah disebut itu dengan sendiri terpakai dan kena daftar dengan Mahkamah Syariah," katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Katanya, Dr Hatta perlu merujuk cerainya dengan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan dan jika masih bersama dengan isterinya, ia dianggap salah dan sekaligus memberikan implikasi negatif.

PAS Kelantan menyerahkan kepada budi bicara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Mahkamah Syariah Negeri Kelantan untuk pertimbangan sewajarnya.

Ahmad pada masa sama turut menjelaskan, penubuhan parti baru itu tidak menjejaskan PAS sebaliknya menjadi seteru sekiranya parti itu bertanding di kerusi yang ditandingi atau diwakili oleh PAS.

Mengulas lanjut, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehingga kini tidak boleh dianggarkan jumlah ahli PAS yang menyertai Amanah.

Beliau menyatakan pendirian, PAS Kelantan berpegang kepada kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad yang menegaskan bai'ah yang disertakan dengan taklik menceraikan isteri dengan talak tiga itu, sah dan terpakai.

"Kita berpegang kepada pandangan Ketua Hakim Syarie yang nyatakan lafaz taklik itu berjalan apabila mereka keluar dan Ketua Hakim Syarie telah buat kenyataan supaya mereka terlibat itu mendaftar penceraian mereka di Mahkamah Syariah," katanya.

Dalam pada itu, Daud ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, permohonan pengesahan status Dr. Hatta boleh dibuat sama ada oleh beliau sendiri atau ahli keluarganya.

"Itu dia terserah kepada dia sendiri bagaimana kedudukan dia dengan isteri dia macam mana,"
"Dia akan tanggung sendiri, atau pihak lain yang mohon mengesah boleh, pihak keluarga isteri atau sesiapa sahaja," ujarnya.

Hatta sebelum ini diumumkan sebagai antara ahli jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) yang akan ditubuhkan 16 September ini.

Semalam Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata keanggotaan 22 ahli PAS yang mengisytiharkan diri mereka menyertai Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) selepas diambil alih oleh Gerakan Harapan Baharu (HB) gugur secara automatik.


EmoticonEmoticon