jobs from my.neuvoo.com

15 September, 2015

Jerebu: Piala M’sia Ditunda Jika IPU Lebih 150

KUALA LUMPUR — Perlawanan Piala Malaysia 2015 yang baharu membuka tirai pada Jumaat lalu akan ditunda sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di venue terlibat melebihi 150, kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata, bacaan IPU itu akan dibuat setiap sejam pada hari perlawanan dan status sama ada perlawanan di venue terlibat dapat diteruskan akan diputuskan oleh pesuruhjaya perlawanan.

“Kami turut mendapatkan nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan berkaitan isu ini. Jika ada penundaan, tarikh baharu perlawanan akan dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

“Kita terpaksa membuat ketetapan hanya pada hari perlawanan kerana jerebu tidak boleh dijangka. Bacaan IPU sentiasa berubah setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM hari ini.

Kesemua lapan aksi pertama peringkat kumpulan telah berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu, manakala lapan lagi aksi dijadualkan pada hujung minggu ini, dengan Kedah menerima kunjungan Terengganu dan pertembungan di antara Kelantan dan Felda United pada Jumaat ini.

Pada hari Sabtu pula, Johor Darul Ta’zim (JDT) II akan menentang Lions XII, Perak menentang Sarawak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertemu JDT, T-Team bertemu Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan Pulau Pinang dan PKNS FC akan menerima kunjungan Pahang. — BERNAMA


EmoticonEmoticon