jobs from my.neuvoo.com

09 September, 2015

Selepas setahun sorok hubungan terlarang..

GELANG PATAH – Seorang wanita termasuk dua anak terpaksa tinggal dalam pondok di tepi muara sungai Gelang Patah bersama teman lelakinya kerana tidak mampu membayar sewa selain bertujuan menyembunyikan status hubungan mereka.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, wanita berumur 34 tahun berkenaan hidup dalam serba kekurangan kerana terpaksa berharap dalam pendapatan teman lelakinya yang memperolehi pendapatan kira-kira RM20 sehari sebagai pengumpul barang lusuh.

Menurutnya, pasangan berkenaan dipercayai bersekedudukan lebih setahun lalu itu juga tidak tampil memohon bantuan walaupun berdepan kesempitan hidup kerana tidak mahu rahsia mereka terbongkar.

“Pasangan berkenaan membina pondok sebagai tempat tinggal tanpa bekalan elektrik dan air bersih. Difahamkan mereka pernah menyewa kediaman di kawasan berhampiran namun terpaksa keluar dari rumah sewa kerana masalah kewangan.

“Kami terpaksa memujuk wanita berkenaan ketika diselamatkan kerana ingin terus tinggal bersama teman lelakinya berumur 36 tahun malah berjanji akan berkahwin segera.

“Dia ingin terus tinggal di pondok berkenaan walaupun tidak selesa dengan hanya diterangi lilin apabila waktu malam selain mengambil air dari sungai untuk kegunaan harian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Manayi berkata, sebelum wanita berkenaan memeluk Islam dia mempunyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu bagaimanapun kesemuanya di bawah jagaan bekas suaminya.

JKM bertindak menyelamatkan wanita terbabit dan dua anaknya (hasil hubungan dengan teman lelaki) yang kini diletakkan di rumah perlindungan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Lelaki berkenaan menyatakan hasrat berkahwin dengan teman wanitanya itu, namun dia perlu membuktikan kepada kami terlebih dahulu termasuk mempunyai pekerjaan tetap selain menyediakan tempat tinggal yang selesa sebelum dibenarkan membawa pulang kesemuanya.

“Kita juga akan membantu pasangan berkenaan untuk berkahwin memandangkan lelaki itu dilihat menjaga anak dan teman wanitanya itu dengan baik meskipun dalam serba kekurangan termasuk menghantar anak wanita itu bersekolah,” katanya.


EmoticonEmoticon