jobs from my.neuvoo.com

02 September, 2015

'Talak tiga? Saya bukan ahli Pas, pegi tanya orang Pas...' - Dr Hatta

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli mengakui sudah tidak lagi bersama PAS sekali gus menolak sebarang tuduhan atau spekulasi mengenai isu bai'ah kepadanya.

Tegasnya, dia tidak mahu dikaitkan dengan isu berkenaan dan mahu soalan itu ditujukan kepada ahli PAS sahaja.

"Saya parti lain. Itu tanya orang PAS.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenainya sebab saya bukan lagi bersama PAS," katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Hatta berkata demikian ketika mengulas mengenai permintaan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob yang memintanya merujuk ke Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan dalam isu baiah talak tiga yang dilafazkan pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Jelas Ahmad, lafaz taklik yang dibuat Dr Hatta itu terpakai, sekali gus menganggap hubungannya dengan isterinya terbatal.

Dr Hatta yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi GHB sebelum ini dilaporkan enggan mengulas lanjut berhubung isu sumpah cerai talak tiga membabitkan ahli PAS yang menyertai parti lain.

Sebaliknya dia menggesa supaya persoalan mengenai Bai'ah diajukan kepada ulamak dalam kalangan PAS sendiri.

Sebelum ini, Ketua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kelantan supaya merujuk semula sumpah bai'ah talak tiga ke atas isteri masing-masing sekiranya berhasrat meninggalkan parti itu dan menyertai GHB.
Menurutnya, sumpah bai'ah bukan perkara baharu dan telah lama menjadi amalan parti itu di Kelantan yang mana semua wakil rakyat, sama ada di peringkat parlimen atau negeri, mengangkat sumpah di hadapan Pesuruhjaya PAS.

Hatta sebelum ini diumumkan sebagai antara ahli jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) yang akan ditubuhkan 16 September ini.


EmoticonEmoticon