jobs from my.neuvoo.com

05 Oktober, 2015

Jerebu: Peperiksaan ditunda jika IPU cecah 500

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan hanya akan menunda peperiksaan yang sudah dijadualkan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan, setakat ini pihak kementerian akan meneruskan jadual peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2015 seperti yang sudah ditetapkan sebelum ini.

"Kita ambil maklum peperiksaan PT3, SPM, STPM diteruskan walaupun keadaan jerebu sekarang.

"Hanya sekiranya IPU sampai 500 kita akan batalkan, semua maklumat ini kita telah keluarkan dan kita hasrat semua pihak mematuhinya," katanya ketika sidang medianya di Dewan Datuk Razali Ismail di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Cheras, di sini, hari ini.

Kamalanathan turut mengingatkan ibu bapa bahawa penutupan sekolah akibat jerebu tidak digunakan oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak bercuti.

"Hasrat kita jangan bawa anak bercuti, jaga kesihatan, minum air banyak-banyak, jangan keluar," katanya.

Beliau juga berkata, buat masa ini pihak sekolah tidak perlu mengadakan aktiviti luar kelas berikutan keadaan cuaca yang tidak baik.

"Kita juga menasihati sekali lagi sekiranya balik ke sekolah Rabu ini keadaan jerebu masih teruk saya cadangan semua sekolah jangan adakan aktiviti di luar kelas kerana kita dapat beberapa aduan orang ramai, masih ada aktiviti luar dilaksanakan.

"Walaupun arahan kita amat jelas jangan lakukan aktiviti luar apabila tahap jerebu mencecah IPU 150 , saya merayu kepada semua guru besar, pengetua utamakan kesihatan anak-anak dan pelajar ia sangat penting," katanya.


EmoticonEmoticon