jobs from my.neuvoo.com

27 Oktober, 2015

Kisah Benar: Bakal Teman Hidup ‘Jual Tubuh’

Pagi itu, saya segera membuka peti emel setelah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Nina’ (bukan nama sebenar)… dari malam sebelumnya kami berbalas sistem pesanan ringkas dan akhirnya Nina menyuarakn hasrat ingin berkongsi salah satu babak kehidupannya kepada kita semua.

Tetikus terus ligat mencari empunya tinta teknologi dan akhirnya saya berasa amat lega kerana Nina teguh menunaikan janji. Berikut adalah kisah dan luahan hati Nina tentang peristiwa yang menimpa dirinya beberapa purnama sebelum ke takhta singgahsana. Meniti detik-detik bergelar raja sehari memang memenatkan tetapi dalam masa yang sama amat mengujakan!

Masakan tidak, selain kita dan bakal suami berhias segak dan cantik, paling utama, ia destinasi bermulanya pelayaran kehidupan bersama insan tercinta. Tetapi itu semua sekadar impian beberapa tahun lalu. Biarlah saya perkenalkannya sebagai ‘A’. Saya dan A berkenalan lebih kurang enam tahun. Sepanjang tempoh itu, saya kira saya cukup mengenali peribadi A selengkapnya.

A yang saya kenal adalah seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab bukan saja kepada saya dan cintanya tetapi sebagai hamba Allah yang taat kepada suruhanNya. Semua ciri-ciri itu meyakinkan saya bahawa A adalah pasangan hidup paling tepat yang dapat membimbing saya dan anak-anak kami setelah berumah tangga kelak.

Malah, dengan restu orang tua kedua pihak keluarga, kami diikat dengan ikatan pertunangan. Malah, kerana mengagumi sifat terpujinya, maka saya sendiri berubah tanpa disedari. Saya juga mula belajar mengenakan tudung dan mula selesa dengan etika berpakaian yang sopan. Saya yang selama ini kerap lopong waktu sembahyang mula melengkapkan solat lima waktu sehari semalam.

Lagak saya yang selamba sebelum ini mula dilitupi rasa malu dan segan sebagai wanita melayu beragama Islam. Jujur saya katakan, A, tunang saya banyak merubah diri dan hidup saya. Sifat terpujinya banyak mempengaruhi diri ini. Namun, dalam leka saya dan A membuat persiapan perkahwinan kami, saya dikejutkan dengan pengakuan seorang teman sekolah saya.

Oleh kerana dia teruja dengan berita perkahwinan saya, teman meminta saya mengirimkan foto tunangan menerusi Whatsapp. Dia teruja benar ingin tahu siapakah jejaka yang dapat menawan hati saya sehingga berjaya memimpin menuju ke alam rumah tangga. Semua kepercayaan saya kepada tunang jatuh meluruh bila teman sekolah yang lama terpisah mengesahkan gambar tunangan yang saya kirim menerusi Whatsapp tersebut adalah lelaki yang pernah menawarkan khidmat seks kepadanya.

Saat menerima fakta tersebut, hati saya tegas menidakkan, menafikan bahawa tunangan saya itu seorang lelaki yang berperibadi kotor sedemikian rupa. Masakan saya mahu terus percaya? Teman saya itu tinggal di Pantai Timur sedangkan saya dan tunangan di Kuala Lumpur. Bagaimana mereka mengenali antara satu sama lain?

Saya keliru dengan semua persoalan yang datang bertamu. Oleh kerana tidak puas hati dengan kata-kata teman tadi, saya menghubunginya semula. Saya soal selidik, bagaimana dia pasti bahawa tunangan saya adalah lelaki yang dimaksudkan. Teman saya menjelaskan bahawa A dan dia berkenalan akibat salah faham dalam sebuah laman sesawang sosial khidmat seks secara tidak sengaja.

Jelas teman saya juga, nombor telefonnya disiarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di dalam laman sesawang sosial itu. Akui teman, tunang saya yang mula menghubunginya. Teman saya juga menjelaskan, dia menerima pelawaan tunangan saya berbual semata-mata ingin menyiasat dari mana datangnya panggilan-panggilan lucah yang pernah diterima selama ini.

Malah, menurut teman saya, tanpa diminta, tunang saya segera melampirkan foto menerusi Whatsapp dengan tujuan menarik perhatiannya untuk menerima pelawaannya bertemu. Sebaik mendengar penjelasan ringkas tersebut, saya meminta teman tadi mengirimkan semula foto yang pernah dikirimkan oleh tunang saya. Dalam beberapa minit, saya selamat menerima kiriman foto tersebut.

Alangkah terperanjatnya saya kerana foto tersebut sahih foto tunang saya sendiri! Tanpa berlengah, saya menghubungi kembali teman tadi dan meminta alamat laman sesawang sosial yang dikunjungi oleh tunang saya selama ini. Saat laman sosial tersebut saya buka dan isi-isinya saya perinci satu per satu, tahulah saya bahawa selama ini saya tertipu dengan persembahan pekerti mulia yang dilakonkan oleh tunang saya.

Semuanya sangat jelas dan terbukti dengan kata-kata bual yang tertera di laman sosial itu. Tunang saya bukan saja menjelaskan fakta fizikalnya dengan jelas malah, mempelawa sesiapa pengunjung laman sosial mengadakan hubungan seks dengannya. Malah, ada beberapa petikan perbualannya yang cukup meloyakan dan disambut balas oleh beberapa pengunjung yang mengakui merindukan aksi dan belaiannya di ranjang.

Lebih meyakinkan, tunang saya sendiri memaparkan nombor taliannya untuk dihubungi oleh mana-mana wanita yang dahagakan khidmat seks. Saat semua bukti menyerlah, saya rasakan seisi dunia bagaikan berpusing ligat. Kecewanya hati bukan kepalang. Saya menangis semahunya kerana rasa amat tertipu dan dikhianati. Rasa percaya, cinta dan kasih lenyap sekelip mata.

Saat itu, hanya rasa marah dan benci merajai jiwa dan hati. Pantas pula minda teringat, selama ini tunang saya selalu menggunakan ‘silent mode’ ketika kami bertemu atau berurusan. Dalam keadaan terluka dan sedih yang teramat, saya segera mencetak setiap bukti yang tertera di laman sosial tersebut. Saya gagahkan hati, menghubungi tunang untuk satu pertemuan. Saya berikan alasan, ada perkara penting untuk persiapan perkahwinan yang harus kami bicarakan bersama. Tunang setuju dan kami bertemu sebaik saja dia pulang dari pejabat.

Sebaik saja saya masuk ke dalam kereta, saya segera mengemukakan bukti yang saya cetak sejak awal tengah hari tadi. Tunang saya terkejut dan terdiam dengan apa yang saya suakan. Dalam tergagap, dia menafikan bukti tersebut dan meminta saya bertenang. Saya meminta penjelasan namun sekeras-keras penafian yang saya terima sepanjang kami berada di dalam kereta.

Tunang menyatakan bahawa kewujudannya di dalam laman sosial itu angkara penganiayaan orang yang tidak bertanggungjawab. Tunang mahu saya kemukakan bukti yang lebih konkrit. Saya tunjukkan pula bukti foto yang dikirimkannya kepada teman saya tadi. Kali ini tunang saya hanya diam membisu. Dia akhirnya mengaku tetapi menjelaskan bahawa dia tidak lagi melawat laman sosial itu untuk tempoh yang agak lama.

Pada saya, apa jua alasannya, hati dan perasaan ini sudah tawar dan pudar untuk menerimanya kembali waima sebagai teman biasa sekali pun. Tunang meminta saya agar tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengancam ikatan pertunangan kami. Malah, dia bersumpah akan menjadi suami yang setia asalkan saya tidak membongkarkan kisah aibnya kepada keluarga kami.

Namun, nasi sudah menjadi bubur. Hancurnya hati saya tidak boleh dibega lagi. Kepercayaan pun tidak lagi bersisa. Saya meminta ikatan pertunangan kami diputuskan. Tunang masih berdegil dan terus-menerus merayu. Tetapi, saya juga punya pendirian dan enggan diperbodohkan lagi. Akhirnya, tunang akur dengan pendirian saya dan memutuskan hubungan dengan alasan dia sudah jatuh hati pada perempuan lain.

Saudara pengelola, meski peristiwa hitam ini telah lama berlalu namun, kesakitan yang saya rasakan masih berlarutan sehingga ke hari ini. Malah saya seperti trauma untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki. Saya takut lagi tertipu, takut dikhianati dan diperbodohkan lagi. Saya harap, kisah ini dapat menjadi iktibar kepada semua khasnya wanita yang ingin mendirikan rumah tangga. Kalau boleh, siasatlah siapa bakal suami anda..

Malah, Nina sempat berkongsi petua kepada saya bagaimana cara mudah mengesan kecurangan pasangan menerusi laman sesawang sosial di penghujung emelnya. Cara paling ringkas katanya, hanya taipkan nombor telefon pasangan pada pencarian Google.

Sumber: EH!


EmoticonEmoticon