jobs from my.neuvoo.com

25 Oktober, 2015

Mundzir penerima PhD termuda

JOHOR BAHRU: Pada usia 23 tahun, Mundzir Abdullah, sudah berjaya menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dan bidang pengajian pilihannya juga bukan calang-calang.
Kejayaan pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu menjadikannya pelajar termuda dianugerahkan kelulusan berkenaan di negara ini.

Serentak itu, nama anak kepada pasangan bekas pensyarah UTM, Dr Abdullah Daud, 61, dan suri rumah, Zakiah Mat, 56, ini kini tercatat dalam Malaysia Book Of Records (MBR), menggantikan Dr Hazzirah Izzati Mat Hassim, juga lepasan UTM dari Kelantan, yang muncul graduan PhD termuda pada usia 24 tahun, tahun lalu.

"Saya bersyukur kerana hasrat menerima PhD termakbul walaupun hampir putus asa untuk menyiapkan tugasan penyelidikan dalam bidang aplikasi laser.

"Seperti tidak percaya apabila menjadi penerima termuda PhD. Ini membuktikan ilmu bukan diukur dengan usia," kata Mundzir, yang menerima ijazahnya pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-55, di sini, hari ini.

Anak keenam daripada 11 beradik itu berkata, beliau tiada rahsia khusus di sebalik kejayaan berkenaan, malah mengakui pernah hampir berputus asa sebelum diberi tunjuk ajar dan galakan semangat oleh tenaga pengajar serta rakan sehingga berjaya menyiapkan penyelidikan dalam aplikasi laser.

Mundzir yang mengikuti pengajian peringkat PhD selama 33 bulan, berkata sepanjang pengajian, beliau menerbitkan lebih 20 kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa selain membuat pembentangan pada persidangan berkaitan.


EmoticonEmoticon