jobs from my.neuvoo.com

19 Oktober, 2015

Nazri: Saifuddin dah kalah, akan terus kalah

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau yakin bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Saifuddin Abdullah akan terus ditolak rakyat meskipun beliau menyertai parti pembangkang.

Kata Nazri, rakyat sudah tidak percaya lagi kepada bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu.

"Dia (Saifuddin) kalah dalam pilihan raya dan dalam pemilihan Umno pun dia kalah. Jadi, kalau orang dah kalah nak keluar, itu tak ada masalah.

"Dia sudah kalah dan dia akan terus kalah, sebab orang tidak akan percaya kepada dia lagi," katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas kepada pemberita ketika hadir memeriahkan sambutan Citrawarna di Dataran Merdeka sebentar tadi.

Saifuddin yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Temerloh mengisytiharkan keputusannya menyertai PKR pada Rabu.

Beliau tewas kepada Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dalam pilihan raya umum lalu.

Sebelum ini beliau pernah diuar-uarkan akan menyertai Parti Amanah Nasional (AMANAH).

Mengulas lanjut, Nazri yang juga ahli MT Umno berkata Saifuddin mempunyai hak memilih mana-mana parti yang disukainya.

"Negara kita mengamalkan kebebasan berpolitik, jadi dia buat keputusan nak keluar. Tak apalah itu hak dia.

"Kepada saya, (Umno) tak rugi apa-apa sebab dia pun kalah salam pilihan raya di Termeloh. Jadi kekalahan itu disebabkan peribadi dia bukan orang tak suka kepada BN," tegas Nazri lagi.

Saifuddin juga terkenal dengan kelantangan melawan arus dalam Umno. Terakhir, beliau tampil pada mesyuarat pembentukan gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan ketika masih menjadi ahli Umno.

Tindakan itu menyaksikan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Umno.


EmoticonEmoticon