jobs from my.neuvoo.com

03 November, 2015

Anak nyorok dalam tandas, cekup ayah dengan GRO

KEBANYAKAN wanita berharap untuk berkahwin dengan lelaki kaya yang ada nama dan kedudukan kerana ingin hidup mewah dan mendapat perhatian masyarakat.

Ada yang mencapai apa yang mereka hajatkan dan tidak kurang juga yang menghadapi masalah kerana suami beralih arah setelah hidup senang.

Kebanyakan mereka yang menghadapi masalah rumah tangga setelah berkahwin dengan lelaki kaya dan ada kedudukan ini adalah para isteri yang telah bersusah payah sejak dari awal dengan suami tetapi akhirnya ditinggalkan kerana suami terlalu mengikut nafsu dan hasutan kawan-kawan.

“Masa susah kita yang bertungkus lumus membantu dan memberi sokongan tetapi apabila dia sudah senang kita dibuat macam sampah, cari perempuan lain sampai tak balik rumah berbulan-bulan,” demikian kata Siti (bukan nama sebenar) mengenai rumah tangganya.

Siti menghubungi saya untuk berkongsi ceritanya dengan wanita di luar sana terutama pembaca setia ruangan ini dengan harapan ia dapat dijadikan teladan dalam mengharungi rumah tangga.

Begini cerita Siti.

“Saya berusia awal 50-an mempunyai tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki yang kesemuanya masih menuntut di universiti.

“Suami saya seorang usahawan berjaya dan terkenal. Orangnya kacak dan sentiasa menjaga penampilan. Tidak hairan ramai wanita suka kepadanya. Tapi bagi saya mereka suka sebab dia ada duit. Boleh tumpang senang dan nak cepat kaya.

“Kami telah berkahwin hampir 25 tahun. Rumah tangga kami aman bahagia sejak kahwin tetapi mula goyah lebih kurang tiga tahun lalu setelah perniagaan yang kami usahakan mula membuahkan hasil lumayan.

“Suami mula liar. Siang bekerja, malam keluar bersama kawan-kawannya yang juga ahli perniagaan. Saya tidak kisah jika tujuan untuk perniagaan. Setahun lebih saya menahan sabar. Saya harap dia berubah tetapi makin menjadi–jadi pula. Perniagaan yang dijalankan menyebabkan suami selalu berulang alik antara Kuala Lumpur dan utara.

“Akhirnya rahsia suami terbongkar. Memang benar dia ada perempuan lain. Seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) yang telah dipeliharanya sejak dua tahun lalu. Saya dapat maklumat dari orang upahan yang saya suruh intip suami saya selama beberapa bulan.

“Memang sah dia tinggal bersama perempuan itu. Saya tahan lagi kesabaran dan berdoa agar dia berubah dan balik kepada keluarga.

“Dua tahun saya menunggu tetapi dia tetap sama. Saya dan anak-anak macam tidak ada dalam hidupnya lagi. Saya puas memujuk dan merayu supaya dia balik, tetapi hampa belaka.

“Anak-anak mula mengamuk. Mereka marahkan ayah yang tidak ambil peduli tenang nasib mereka, makan minum dan perbelanjaan mereka untuk belajar. Saya terpaksa gunakan duit simpanan saya untuk menyambung hidup kami.

“Akhirnya saya dapat khabar suami selalu datang ke sebuah kelab eksklusif di ibu kota. Katanya di kelab tersebut ramai lelaki kaya, suami orang berhimpun untuk bergembira dengan wanita simpanan mereka.

“Pada mulanya saya tidak percaya tetapi melalui gambar yang ditunjukkan oleh orang upahan saya akhirnya saya mula yakin tambahan pula perangai suami sangat berbeza. Sudah lama saya bersabar. Kini saya ingin membuat perhitungan dan menyelesaikan masalah kami. Apa yang akan terjadi, saya terima dengan reda.

“Kami berbincang anak beranak dan mengambil keputusan untuk ke kelab tersebut. Memang susah untuk naik ke kelab itu tetapi Alhamdulillah kami dapat lepas masuk.

“Saya bersama dua orang anak perempuan menyorok di dalam tandas untuk memastikan betul atau tidak suami ada di dalam. Allah itu Maha Kaya, kebenaran akhirnya terserlah apabila suami saya muncul di muka pintu kelab itu untuk menjawab telefon dari anak lelaki saya yang kami suruh menelefon ayahnya.

“Di belakangnya perempuan GRO yang menjadi kekasih hatinya itu tergedik-gedik memanggil namanya dengan suara manja. Di pautnya lengan suami saya sambil marah-marah dan bertanya kenapa mesti jawab telefon di luar?

“Bayangkan, hati siapa yang tidak mendidih. Saya nampak dengan mata sendiri kemanjaan perempuan yang tidak bermaruah itu. Tapi saya sabar. Anak-anak melarang saya bertindak kerana tidak mahu rancangan kami gagal.

“Setelah pasti suami saya ada di dalam kami berbincang untuk meneruskan rancangan kami. Sekali lagi saya terpaksa menyamar untuk masuk ke dalam. Begitu juga dengan dua anak dara saya. Sayangnya anak lelaki saya tidak sampai.

“Ketika mereka semua sedang asyik bergembira, berkaraoke dan berkhayal dengan teman masing-masing saya meredah masuk diikuti oleh anak-anak saya. Tahu apa yang kami nampak?

“Perempuan GRO itu duduk di atas riba suami saya sambil kedua-dua tangannya merangkul leher suami saya tanpa perasaan malu sedikit pun. Apa lagi anak-anak saya dalam keadaan yang sangat marah terus menarik perempuan itu . Dia terjatuh di lantai, saya terus terkam dan memukulnya bertubi-tubi sambil menjerit-jerit.

“Suami terpinga-pinga dan terkejut. Saya bagi dia amaran jangan campur jika tidak mahu saya terus buat kecoh di situ. Sempat juga kami hentam perempuan itu sebelum pegawai keselamatan tiba dan menghalau kami keluar.

“Pemilik kelab itu dan pengawal keselamatan minta kami selesaikan kes itu di luar. Saya hilang sabar. Saya tidak ingat apa yang telah saya katakan tetapi yang pasti saya mahu buat perhitungan akhir dalam hubungan kami sebagai suami isteri.

“Di luar kelab tersebut, disaksikan dua anak perempuan saya, perempuan GRO itu dan beberapa lelaki miang yang ada di situ, suami melafazkan cerai talak satu ke atas saya.

“Entah mengapa saya berasa sangat lega dengan lafaz yang dia jatuhkan itu. Saya rasa beban di kepala dan bahu saya semakin ringan. Saya menarik nafas lega sementara anak-anak saya menangis dan memarahi ayah mereka.

“Setelah dia menjatuhkan talak saya dibawa oleh pengawal keselamatan ke bawah dan diminta pulang dan jangan datang lagi ke kelab tersebut. Saya tersenyum lega. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada GRO itu selepas kejadian itu.

“Yang pasti suami terus tidak pulang ke rumah sampai hari ini. Saya tidak tahu apa yang terjadi dengan perniagaan kami walaupun ramai saudara mara bekerja di sana. Saya tidak ingin mengambil tahu lagi.

“Saya juga ada perniagaan saya sendiri. Saya harap wang simpanan yang saya ada cukup untuk kami anak beranak hidup sementara menunggu kes cerai saya didengar di mahkamah.

“Saya akan menuntut hak saya, harta sepencarian dan hak untuk anak-anak yang masih perlu bekas suami berikan. Alang-alang menyeluk peksam, biar sampai ke pangkal lengan. Saya harap apa yang terjadi kepada saya tidak akan terjadi kepada orang lain.

“Nasihat saya kepada para isteri semua, seandainya menghadapi situasi seperti yang saya lalui, elok bertindak. Jangan takut, kita harus berani untuk mendapatkan hak kita. Kalau suami anda orang kaya, jaga mereka baik-baik, ikut ke mana sahaja mereka pergi. Jangan bagi ruang wanita lain himpit mereka walaupun bukan GRO.

“Sekarang saya lega, tak lagi fikirkan tentang suami, ke mana dia pergi, dengan siapa dan macam-macam perkara lagi. Saya rasa gembira dengan anak-anak yang menjadi semangat saya. Merekalah penyokong kuat saya dan saya akan terus hidup kerana mereka. Semoga Allah bagi saya ketenangan di dunia dan akhirat,” Siti menamatkan ceritanya.

Saya tidak terkejut dengan apa yang dilakukan oleh Siti. Banyak sudah kes seperti ini berlaku tetapi tidak diceritakan secara terbuka. Saya puji sikap berani Siti kerana menegakkan haknya dan anak-anak.

Tidak dinafikan memang ramai suami yang berperangai seperti itu tidak sahaja orang kaya tetapi orang biasa juga. Semuanya terletak pada hati seseorang, jika baik yang dicari, baiklah jadinya begitu juga sebaiknya.

Saya mendoakan agar Siti dan anak-anak sentiasa di dalam peliharaan Allah dan diberkati hidup mereka di dunia akhirat.

Apa yang berlaku anggaplah ujian Allah dan jodoh hanya sampai setakat itu. Terimalah dengan reda.

Menamatkan catatan, pesanan saya, kebahagiaan akan bertahan kerana kesetiaan tetapi akan musnah disebabkan kecurangan.

Salam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/anak-beranak-serang-gro-di-kelab-eksklusif-1.152484#sthash.az0QVsos.dpuf


EmoticonEmoticon