jobs from my.neuvoo.com

09 November, 2015

Ketagih seks selepas dirogol punca sejarah hitam Julia bermula

Julia (bukan nama sebenar), 49, tidak kisah sekiranya sejarah masa silamnya sebagai seorang pelacur dijaja. Namun dengan usia yang semakin meningkat, dia sudah tidak mahu lagi mengingati sejarah hitam dirinya, 30 tahun lalu, ketika dia dijual oleh ibu saudaranya ke sebuah pusat pelacuran di ibu kota.

Julia menjadi mangsa kekejaman ibu saudara sendiri yang mahu menebus segala hutang-piutang ibu Julia yang telah meninggalkan anak itu ketika berusia tujuh tahun kepada Mak Da (gelaran kepada ibu saudara Julia) apabila mengikut lelaki lain ke negara seberang dan menetap di sana. Dia tinggal di situ tanpa sebarang berita dan kiriman duit sebagai nafkah untuk anaknya itu.

Dek kerana terlalu marah dengan perangai ibu Julia dan ugutan daripada si pengutip hutang ketika itu, Mak Da menjual Julia kepada seorang bapa ayam ketika berusia 18 tahun pada lewat tahun 80-an.

Mendengar luahan Julia, ibarat semuanya telah terlambat bagi dirinya yang berasal dari keluarga yang kucar-kacir dan tidak kuat berpegang kepada ajaran agama dan kerana mahu lari daripada dikongkong oleh Mak Da, Julia merelakan sahaja.

“Aku tidak kisah dijual. Waktu aku darjah enam lagi, aku sudah tidak ke sekolah, hidupku hanya berpeleseran, tiada siapa yang mahu menasihati aku. Mak Da pula sentiasa mencari kesalahanku menyebabkan aku lebih rela hidup di luar. Aku juga tidak tahan asyik dipukul oleh Mak Da.

“Aku pun sudah tidak ingat lagi bagaimana rupa ibuku, aku rasa akupun bukan anak ‘halal’ kerana aku sendiri tidak tahu siapa ayahku.

“Hendak dikatakan mengenai dara, aku mengaku sudah kehilangan dara sejak berumur 13 tahun dengan kekasih hati pertama seorang pelajar sekolah menengah. Seterusnya, dia tinggalkan aku.

“Hari-hari seterusnya aku masih terus menagih kasih dan simpati kepada insan yang bergelar lelaki kerana dahagakan rasa kasih sayang, malangnya tiada siapa pun yang ikhlas untuk mengambil ku sebagai isteri kerana semuanya hanya ingin berseronok sahaja,” katanya yang berasal dari Melaka.

Memandangkan itu, apabila Julia dibawa ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, dia sangat teruja kerana dapat merantau jauh dari kampung, jauh dari Mak Da dan ‘kekasih-kekasihnya’ yang hanya mahu mempergunakan dirinya.

Sebagai remaja, dia tidak kisah akan kerja apa yang bakal dilakukannya itu asalkan dia mendapat habuan kemewahan sebagaimana yang dijanjikan.

“Pada hari pertama, bapa ayam meminta aku melayan seorang tuan punya restoran. Aku yang sudah berpengalaman dalam bidang ini sudah mula ketagih dengan seks.

“Kerana layanan yang memuaskan kepada pelanggan, aku mendapat ramai permintaan dan dinobatkan sebagai ‘pelayan’ yang paling menarik. Berbekalkan rupa paras dan layanan yang memberangsangkan ketika itu, aku menerima banyak tawaran dan dari situ aku kecapi pelbagai kemewahan daripada insan bergelar lelaki.

“Pelbagai lelaki ku temui daripada setua-tua di peringkat datuk sehinggalah yang muda dan mempunyai nama. Aku menjadi peneman mereka di kala mereka gundah, peneman di kelab-kelab malam dan peneman waktu tidur mereka.

“Tapi itu semua bertahan selama 15 tahun sebelum aku mendapat tahu ada pesaing yang lebih muda.

“Bermula saat itu permintaan untuk perkhidmatanku sudah mula kendur dan kabur. Bapa ayam pun sudah tidak peduli dengan diriku. Aku kena berusaha sendiri untuk mencari duit,” kata Julia yang memberitahu ketika itu dia tinggal menyewa sebuah bilik di sebuah lorong.

Seterusnya Julia mula terasa insaf dan mencari jalan ke arah yang benar. Saat itu dia bertemu dengan seorang lelaki yang juga pelanggannya yang diharapkan akan membantunya keluar dari kemelut berkenaan.

Hampir dua bulan berkenalan, Julia akhirnya mengandung, malangnya lelaki yang diharapkan itu juga hilang entah ke mana.

“Aku hampir pasti dia lelaki yang ku cari selama ini kerana kasihnya berbeza daripada yang ku terima daripada lelaki. Tetapi nampaknya aku salah, tindakannya pun sama juga.

“Aku mengambil keputusan untuk cuba mencari rezeki lain dengan membasuh pinggan mangkuk di sebuah warung. Tetapi berapa sen sangat aku dapat dengan kerja seperti itu.

“Aku mengambil keputusan untuk meneruskan kandungan berkenaan. Sampai masanya aku pun melahirkan seorang bayi lelaki. Entah macam mana, ayah kepada anakku itu, kembali mencariku. Dia berkata amat merinduiku. Kesempatan itu aku meminta agar kami bernikah demi masa depan anak kecil itu.

“Namun malang bagiku apabila keesokan harinya, dia telah menghilangkan diri setelah meniduriku.

“Cukup sembilan bulan, anakku yang kedua lahir pula. Abangnya yang sulung belum pun sampai setahun apabila adik perempuannya lahir.

“Rentetan kehidupan yang sempit, aku tekad untuk melacurkan diri semula untuk mendapatkan duit membeli susu dan makan pakai anak-anakku. Aku mula berkeliaran di lorong-lorong semula.

“Aku terfikir, ini rupanya kesudahan kehidupanku dari tempat mewah yang disanjung, aku akhirnya terpelanting di simen kontang.

“Namun, doaku dikabulkan Tuhan, aku diselamatkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita yang membantu aku dan anak-anak menerusi program sampai seru (outreach) yang dijalankan di sekitar ibu kota.

“Aku kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan bersama dua orang anakku. Mereka pun sudah bersekolah rendah.

“Aku berjanji akan menjaga mereka dan Insya-Allah tidak akan kembali ke jalan yang terkutuk itu,” jelasnya.

Nota: Sedutan perbualan ini berdasarkan kisah sebenar

- See more at: http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/sejarah-hitam-julia-1.154467#sthash.FNcUqSqv.dpuf


EmoticonEmoticon