jobs from my.neuvoo.com

16 November, 2015

PAS tunjuk belang sebenar, putus hubungan Salleh - AMANAH

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan tindakan PAS Permatang Pauh memutuskan hubungan dengan wakil rakyatnya yang menyokong Pakatan Harapan Datuk Salleh Man sebagai "berita baik".

Setiausaha AMANAH negeri itu Zahar Zainul berkata PAS kini telah mendedahkan belang sebenarnya di Pulau Pinang dan penyokongnya patut memikirkan pengganti kepada parti Islam itu dalam pilihan raya umum depan.

“Keputusan PAS Permatang Pauh putuskan hubungan dengan Salleh satu kelebihan bagi AMANAH,” kata Zahar kepada Malaysiakini.

Salleh, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir dan yang dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, enggan mengulas perkara itu.

Yang dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan semalam mengumumkan keputusan itu setelah keputusan dicapai dalam mesyuaratnya Isnin lepas.

"Keputusan ini dibuat berikutan kenyataan Salleh Man (gambar) dengan jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP dan bertentangan dengan pendirian PAS pusat," katanya kepada pemberita semalam.

Katanya, pendirian PAS pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, lapor Bernama.

Dalam kenyataan pada 2 Nov, Salleh mengumumkan pendirian menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Omar yang juga timbalan yang dipertua 2 PAS Pulau Pinang, berkata keputusan itu yang mendapat persetujuan PAS negeri, akan dimaklumkan kepada PAS pusat.


EmoticonEmoticon