jobs from my.neuvoo.com

25 November, 2015

Pengalaman Jurufoto Rasmi Ketika Merakamkan Kedatangan Obama Ke Malaysia


Wazari Wazir merupakan seorang jurufoto Kerajaan Malaysia. Beliau bertanggungjawab mengabadikan foto-foto rasmi berkaitan majlis rassmi yang dihadiri Perdana Menteri, Yang diPertuan Agong dan lain-lain.

Dalam entri blog terbarunya, beliau telah berkongsi pengalaman merakamkan kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia tempoh hari.

Berikut adalah catatan pengalamannya:

Sebelum saya tulis apa-apa, janganlah pula anda anggap saya ni taksub atau cuba hendak mengagung-agungkan President Barack Obama ni, saya cuma hendak ceritakan sedikit pengalaman merakam kedatangan President Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia ni. Saya tahu tak semua rakyat Malaysia suka kepada kedatngan beliau, tak kurang juga yang teruja, pemimkin kita pun ada yang tak berapa berkenan, sama juga seperti President Obama, bukan semua rakyat di US menyukai kepemimpinannya, itu lumrah manusia berjaya dalam bidang masing-masing.

Orang yang meniga pun kekadang timbul rasa hasad dengki bila melihat peniaga di sebelahnya cukup maju dan memperoleh keuntungan besar darinya walaupun peniaga tersebut berniaga secara jujur, ada saja yang tak kena, berapa ramai peniaga yang kena santau atau ilmu guna-guna akibat hasad dengki sesama manusia. Itu semua bukan cerita dongeng, ianya memang benar-benar terjadi di kalangan masyarakat kita. Ustaz sesama ustaz pun ada yang saling dengki mendengki akibat Ustaz yang ini lebih popular berbanding dia pasal selalu keluar di kaca TV dan ditontoni jutaan orang di Youtube sedangkan dia hanya berceramah di kampung-kampung sahaja.


Apapun, tugas saya di sini, di TUDM Subang ini ialah untuk merakam ketibaan Presiden Barack Obama sempena menghadiri sidang Kemuncak ASEAN Ke 27 di Kuala Lumpur yang mana Malaysia menjadi Tuan Rumah. Ada yang mempertikaikan mengapa President Obama ni datang lagi sedangkan tahun lepas baru sahaja dia datang ke Malaysia. Yang malas hendak ambil tahu tentang Sidang Kemuncak ASEAN, memang dia akan buat pelbagai andaian ikut suka hati mereka sahaja, tetapi kepada yang selalu mengikuti perkembangan politik antarabangsa, ianya bukanlah sesuatu yang perlu dihairankan.

Persidangan ASEAN yang mana pada tahun ini Malaysia menjadi negara tuan rumah bukan hanya melibatkan 10 negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Philippines, Cambodia, Laos, Vietnam, Myanmar, Singapore, Brunei dan Malaysia tetapi juga melibatkan bebrapa lagi buah negara yang tidak termasuk dalam ASEAN, kita kena faham antara ASIA dan ASEAN, kalau tak faham, pi belajar lagi.

Persidangan ASEAN juga melibatkan kedatangan pemimpin dari negara luar ASEAN, seperti India, New Zealand, Russia, Australia, Jepun, Korea, China dan beberapa lagi negara lain, Perdana Menteri Jepun, Perdana Menteri China, Perdana Menteri Russia, Perdana Menteri India dan Juga Perdana Menteri Australia turut hadir ke persidangan ini. Kalau kita hendak pertikaikan ketibaan Obama, kita juga kena pertikaikan kedatang pemimpin negara yang tidak termasuk dalam 10 negara “ASEAN,” so, sekali lagi kalau tak tahu beza antara ASIA dan ASEAN, pergi belajar lagi…

Tentang security memang ketat, dua tiga hari sebelum ketibaan Air Force One, anggota media yang mana ingin membuat liputan perlu berikan senarai nama dan pihak Kedutaan Amerika akan tentukan siapa yang boleh dan tidak boleh membuat liputan setelah mereka selidiki latarbelakang masing-masing.

Lebih kurang 2 jam sebelum ketibaan pesawat air Force One yang membawa President Barack Obama tiba, kami perlu berada di Lapangan Terbang TUDM Subang supaya proses kawalan keselamatan dilakukan ke atas kami. Saya tidak bercadang hendak menceritakan secara detail tentang kawalan keselamatan tersebut, cuma secara amnya semua jurufoto dan pihak media yang ingin membuat liputan perlu menyerahkan semua peralatan yang mereka bawa untuk diletakkan di satu ruang dan pihak keselamatan dari Amerika akan melakukan security check dengan menggunakan anjing pengesan, kira nasiblah kalau-kalau ada antara peralatan kamera ataupun beg anggota media yang dihidu secara dekat oleh anjing pengesan tersebut, hari pulak waktu itu hujan renyai-renyai.

Actually, dua kali peralatan kamera kami diperiksa oleh anjing pengesan, pertama kali di mana sebelum pesawat mendarat dan kali kedua, semasa kami siap sedia mengambil posisi di atas sebuah treler yang panjang, kami diarahkan untuk meninggalkan peralatan kamera kami di atas treler tersebut dan sekali lagi anjing pengesan melakukan tugasannya. Kemungkinan besar anjing pengesan tersebut dibawa khas dari Amerika Syarikat, kawalan keselamatan memang dilakukan sepenuhnya oleh pihak keselamatan dari USA.

Lebih kurang jam 3:20 PM (jam phone saya), kelihatan kelibat Air Force One tiba untuk mendarat di Lapangan Terbang TUDM Subang, beberapa minit sebaik pintu pesawat dibuka, President Barack Obama keluar sambil melambai tangan dan berlari-lari anak menuruni tangga, bersalaman dengan para VVIP yang menyambut dan terus masuk ke perut kereta The Beast.

Jangka waktu sebaik President Barack Obama muncul dari pintu pesawat Air Force One hingga beliau masuk ke dalam kereta the Beast lebih kurang 1 minit 20 saat sahaja. Itulah jumlah masa “Photo Opportunity Kami” tidak sampai 1 minit 30 saat.

Memang berdebar-debar, sebaik pintu dibuka, mata-mata setiap photographer sudah melekat di viewfinder kamera masing-masing, kami tak berani dah nak menoleh ke kiri kanan atau berbual-bual kerana bila-bila masa sahaja Barack Obama akan muncul dan daripada pengalaman tahun lepas dan juga dari sedikit research di Youtube, pergerakan Obama sangat pantas, sebaik keluar pintu beliau akan terus mengangkat tangan sambil melambai ke arah petugas media dan VVIP, pergerakan tersebut berlaku serentak, beliau melambai tangan sambil berjalan dan bukannya berdiri sesaat dua di muka pintu pesawat, kemudian beliau akan berlari-lari anak menuruni tangga, bukannya berjalan lenggang kangkung.

Di sinilah pentingnya kita memiliki peralatan kamera tahap professional, Kamera Nikon D750 yang saya gunakan bukanlah kategori Professional tetapi ialah Semi-Pro Model, Middle range tetapi Syukur Alhamdulillah mampu melakukan tugas dengan baik cuma lensa Nikon 200-400mm f/4G ED VR II yang saya gunakan agak perlahan sedikit dari segi focusing, mungkin kerana faktor bukaan aperture f/4nya. Agak berpeluh jugalah untuk mendapatkan sharp focus, ini berbeza dengan lensa Nikkor 300mm f/2.8 AF-s II yang pernah saya gunakan dahulu, sekali sentuh Shutter Release sahaja, terus sharp focus tanpa “hunting.”

Gambar diatas sekali saya Zoom lensa tersebut pada 400mm, sebenarnya gambar di atas tu saya dah crop, ianya agak loose, so bayangkan dengan lensa 400mm pun masih “longgar” lagi gambarnya, so 300mm memang kurang sesuai untuk shooting range ini. Gambar Wide Angle shot di bawah tu saya gunakan kamera Fujifilm X100T dengan lensa 23mm (Equivalent 35mm on FX) , masih tak mampu untuk masukkan keseluruhan pesawat Air Force One dalam frame.

Tetapi dari segi Praktikal, memiliki lenza telephoto Zoom seperti 200 – 400mm memberi sedikit kelebihan berbanding sekiranya kita mengambil gambar hanya dengan fixed Prime Lens 500mm atau 400mm, kita mempunyai lebih banyak ruang untuk mencari angle sekiranya memiliki Zoom Lens cuma dari segi kepantasan kita sedikit tewas berbanding fast lens f/2.8.

Namun setiap gambar, sama ada dirakam secara Wide Angle Shot ataupun Tight Shot, mempunyai cerita masing-masing. Kalau diberi pilihan saya, secara personal suka mengambil gambar “Wide Angle Shot” yang nampak keseluruhan peswat Air Force One dengan kereta the Beast dan Barack Obama kelihatan kecil sahaja melambai di pintu kapal terbang. Saya inginkan suasana ketibaan President yang disambut dengan penuh istiadat menyambut ketua negara. Tetapi saya terpaksa memilih untuk Tight Shot supaya wajah Barack Obama jelas kelihatan.

Kalau kita perhatikan gambar-gambar rakaman jurufoto White House iaitu Pete Souza, beliau lebih suka merakam gambar suasana yang mana pada kebiasaanya President Barack Obama hanya kelihatan kecil sahaja dalam gambar, kalau kita lihat gambar tahun lepas sewaktu ketibaan President Barack Obama, Pete Souza mengambil gambar dari sudut bawah bahagian hujung sebelah kanan Rejimen Askar Melayu Di-Raja yang hampir dengan The Beast, rakaman sudut luasnya memperlihatkan barisan kawalan kehormat Rejimen Askar Melayu Di-Raja termasuk bahagian Muncung ataupun Kepala Pesawat Air Force One, manakala President Barack Obama hanya kecil sahaja di dalam gambar sewaktu keluar dari pintu pesawat tersebut.

Kalau hendak diikutkan moment beliau melambai tangan secara “Tigh Shot” tersebut boleh berlaku di mana sahaja di dunia ini, sama ada di China, Russia ataupun India, tetapi yang membezakan beliau turun di negara mana adalah sambutan kawalan kehormat sesebuah negara (sekiranya ada), itulah gambaran di negara mana beliau berada pada ketika itu, dan pemilihan wide angle shot cukup untuk menceritakan segalanya.

Lumrah dalam kerjaya kami Photojournalist, untuk menunggu berjam-jam semata-mata untuk merakam peristiwa bersejarah negara yang biasanya berlaku hanya untuk seminit dua, sebelum moment penting itu berakhir ataupun kami terpaksa meninggalkan majlis setelah diberi peluang seminit dua merakam gambar walaupun 3,4 jam menunggu.

Dalam kerjaya seorang photojournalist, kami perlu bersifat “Neutral” dalam bekerja, maksudnya, sama ada kita suka atau tidak terhadap seseorang individu tersebut, namun sekiranya diberikan tugasan, kami akan berhempas pulas dan “bertempur” sekiranya perlu demi mendapatkan sudut pandang ataupun sudut visual yang cantik, kami mahukan gambar yang jelas, tajam, rakaman moment yang terbaik walaupun kami mempunyai pendirian serta pandangan politik dunia yang berbeza…

WAZARI WAZIR

Foto-foto lain boleh didapati di blog beliau wazariwwazir.com


EmoticonEmoticon