jobs from my.neuvoo.com

05 November, 2015

Remaja perempuan korban nafsu suami kakak angkat

Mangsa dan ibunya menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Tawang.
BACHOK - Seorang remaja berusia 15 tahun mendakwa dicabul seorang lelaki yang juga suami kakak angkatnya dalam kejadian di Alor Jambu, Tawang, dekat sini, pada 27 Julai lalu.

Menurut mangsa, dia baru tinggal di situ bersama ibu dan beberapa adik beradik angkatnya yang lain sejak dua minggu lalu.

Katanya, dalam kejadian lebih kurang jam 1 pagi itu, dia sedang tidur, tetapi tersedar apabila terasa badannya ditindih seseorang.

“Saya sedar sebab rasa badan ditindih orang dan dia raba badan saya. Saya cuba lawan, tapi dia suruh diam sebab takut didengari kakak dan ibu yang tidur di luar bilik.

“Dia ugut akan bunuh saya dengan mengacukan pisau ke leher. Dalam kekalutan itu, kakak saya yang tidur di luar, masuk dalam bilik dan buka lampu. Ketika itulah suspek lompat keluar melalui tingkap,” katanya pada sidang media di kediamannya, dekat sini, semalam.

Sejurus selepas kejadian itu, mangsa terus ke Balai Polis Tawang untuk melaporkan kes berkenaan pada pagi keesokan harinya.

Mangsa berkata, dia tidak begitu mengenali suspek dan hanya bertemu beberapa kali ketika suspek datang ke rumah ibu angkatnya untuk bertemu kakak angkat yang sedang berpantang selepas keguguran.

Menurutnya, ketika suspek datang ke rumah ibu angkatnya, suspek pernah memerhatikannya dengan pandangan pelik, namun dia tidak menganggap ia sesuatu yang luar biasa.

Sementara itu, ibunya dikenali sebagai Faridah, 50, berkata, selepas kejadian itu, mereka sekeluarga trauma kerana suspek masih belum ditangkap.

“Kami masih trauma sebab suspek masih belum ditangkap. Kami difahamkan serbuan polis ke rumah sewa suspek di Kemayang dan rumah keluarganya di Binjai, tidak membuahkan hasil.

“Kami bimbang dia akan datang lagi ke sini. Jadi, kami harap pihak polis dapat tangkap suspek segera bagi mengelakkan kejadian sama berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, pihak polis sudah tiga kali membuat serbuan untuk menangkap suspek, tetapi gagal.

Bagaimanapun katanya, usaha mengesan suspek diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.


EmoticonEmoticon