jobs from my.neuvoo.com

31 Disember, 2015

15 'fatwa' untuk bersetubuh, liwat tak dibenarkan


KUALA LUMPUR: Portal berita antarabangsa, Reuters menerusi laporan eksklusifnya semalam mendedahkan garis panduan atau “fatwa” yang dikeluarkan oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS) membabitkan cara melayan dan mengadakan hubungan seks dengan hamba wanita yang dimiliki oleh ahli IS.

Menurut laporan tersebut, dokumen yang menjelaskan garis panduan berkenaan diperolehi oleh pasukan khas Amerika Syarikat (AS) di Syria semasa serbuan yang dilakukan pada Mei lalu.

“Fatwa” tersebut yang mengandungi 15 perkara dikatakan dikeluarkan selepas timbul kemusykilan dalam kalangan ahli IS mengenai hukum syarak layanan terhadap hamba-hamba wanita dan ianya telah dipersetujui oleh jawatankuasa penyelidikan dan fatwa IS.

Laporan itu juga menyatakan, “fatwa" tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh kerajaan AS, bagaimanapun agensi berita itu tidak dapat mengesahkan sendiri kesahihan maklumat berkenaan.

Merujuk kepada “fatwa” bernombor 64, bertarikh 29 Disember antaranya menyatakan seseorang yang menyimpan hamba wanita dibenarkan untuk bersetubuh dengan mereka selepas wanita itu habis haid dan bersih daripada hadas, selain tidak dibenarkan meliwat hamba tersebut.

Berikut merupakan 15 “fatwa” yang dinyatakan oleh para ulama IS, seperti dokumen yang dilampirkan dalam laporan berkenaan:

1. Dibenarkan seseorang yang menyimpan hamba wanita untuk bersetubuh dengannya selepas wanita itu habis haid dan bersih daripada hadas.

2. Jika wanita itu tidak haid tetapi mengandung, tidak dibenarkan bersetubuh dengannya sehingga wanita itu beranak.

3. Tidak dibenarkan untuk menggugurkan kandungan jika wanita itu hamil.

4. Jika seseorang pemilik hamba wanita membebaskannya, cuma dia boleh bersetubuh dengannya dan tidak boleh membenarkan orang lain bersetubuh dengannya.

5. Jika seseorang memiliki hamba wanita yang mempunyai seorang anak perempuan yang sesuai untuk disetubuhi, lalu dia menyetubuhi anak itu, dia langsung tidak dibenarkan menyetubuhi si ibu. Jika dia telah menyetubuhi si ibu, dia tidak dibenarkan menyetubuhi si anak pula.

6. Seseorang yang memiliki hamba adik-beradik tidak dibenarkan bersetubuh dengan kedua-duanya, dan cuma boleh bersetubuh dengan seorang sahaja. Dia cuma boleh memiliki wanita satu lagi jika membebaskan hamba pertama dengan menjualnya, memberikannya, atau melepaskannya.

7. Jika hamba wanita dimiliki seorang bapa, anak si bapa tidak boleh bersetubuh dengan wanita itu. Begitu juga sebaliknya. Tambahan, seseorang juga tidak boleh bersetubuh dengan hamba wanita yang dimiliki isterinya.

8. Jika seorang bapa pernah bersetubuh dengan hamba wanita dan kemudian memberi atau menjualnya kepada anaknya, si bapa tidak lagi dibenarkan bersetubuh dengan hamba itu.

9. Jika seorang hamba wanita hamil hasil persetubuhan pemiliknya, dia tidak boleh menjualnya dan hamba itu cuma bebas selepas kematiannya.

10. Jika seseorang pemilik membebaskan hamba wanitanya, dia tidak dibenarkan bersetubuh lagi dengannya kerana hamba itu sudah bebas dan bukan lagi miliknya.

11. Jika dua atau lebih individu memiliki seorang hamba wanita, tiada siapa dibenarkan bersetubuh dengannya kerana hamba itu milik bersama.

12. Tidak dibenarkan bersetubuh dengan hamba wanita ketika sedang haid.

13. Tidak dibenarkan melakukan seks anal atau meliwat hamba wanita.

14. Seorang pemilik hamba wanita perlulah menunjukkan rasa belas kasihan, berbuat baik kepadanya, tidak mengaibkannya dan jangan memberi tugasan yang dia tidak boleh lakukan.

15. Seorang pemilik hamba wanita tidak boleh menjualnya kepada individu yang diketahui akan melayannya dengan buruk atau melakukan perkara yang ditegah Allah.



- mD


EmoticonEmoticon