jobs from my.neuvoo.com

08 Disember, 2015

Golongan Mufti bangkit bidas isu mansuh hukuman khalwat


LUMUT 7 Dis. - Kumpulan bekas penjawat awam yang menggelar diri mereka sebagai G25 disaran segera bertaubat kerana tindakan ‘cuba’ meminda atau memansuhkan undang-undang syariah yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan negara boleh membawa kepada murtad.

Saranan itu disuarakan Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria yang menyifatkan bahawa hasrat kumpulan itu mahu memansuhkan beberapa undang-undang syariah sama seperti menentang hukum Islam dan juga Allah.

Harussani juga menganggap gerakan itu sebagai ancaman kepada umat Islam dan menegaskan bahawa umat Islam boleh jatuh kufur sekiranya ‘keluar’ daripada perintah Allah.

Menurutnya, jika kata khalwat itu adalah hak asasi manusia, kalau begitu, mencuri pun hak asasi manusia juga, bebas untuk mencuri, begitu juga dengan membunuh.

“Pada saya gerakan ini kelihatan seperti kumpulan orang-orang yang putus asa, mungkin kerana mereka tidak diberi kesempatan atau peluang selepas pencen, sebab itu cari jalan ini.

“Saya minta kumpulan ini bertaubatlah dan buat kerja amal yang lebih baik daripada kita mahu rosakkan agama, pecah-belahkan umat Islam. Lebih baik mereka buat persatuan menggunakan kebijaksanaan untuk membantu perkara-perkara yang membangunkan umat. Janganlah kita terbawa-bawa dengan budaya Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Bicara Bersama Mufti di Samudera di Jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, hari ini.

Semalam, G25 mahu penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah termasuk hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan.

Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, dengan berpandukan pada prinsip Perlembagaan, kumpulan tersebut menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad ketika dihubungi menegaskan, tindakan kumpulan itu mengangkat perjuangan hak privasi individu menggambarkan seolah-olah mereka membelakangkan hak yang lebih agung iaitu hak Tuhan.

Katanya, hak Tuhan perlu diperjuangkan terlebih dahulu, kecuali seseorang itu tidak mempercayai wujudnya Tuhan.

“Undang-undang khalwat ini dibuat sebagai mekanisme membasmi kemungkaran dalam masyarakat. Tindakan dalam mencegah kemungkaran ini sememangnya adalah peraturan Islam.

“Kita juga ada hak masyarakat. Bagaimana hendak asingkan hak individu dengan hak masyarakat sedangkan kita semua hidup dalam satu rangkaian tanggungjawab kepada satu sama lain?” soalnya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, prinsip Perlembagaan tidak mengatasi al-Quran kerana Kalam Allah itu mengatasi segala-galanya.

Tegasnya, telah termaktub dalam Perlembagaan yang turut menetapkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

“Jadi bagaimana pula khalwat itu dikatakan perkara peribadi dan tidak boleh dijadikan sebagai jenayah? Kumpulan bekas penjawat awam (G25) bercakap tanpa pengetahuan tentang jenayah Islam yang ditetapkan oleh al-Quran.

“Mereka perlu meneliti dan mendalami jenayah Islam dan bila tidak tahu, mulalah bercakap ikut hukum akal, walhal (hukuman) memang sudah termaktub dalam hukum syarak,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor meminta G25 tidak terlalu ghairah meniru gaya hidup masyarakat Barat yang terlalu bebas sehingga hilangnya nilai-nilai moral dalam kehidupan.

Beliau berkata, peraturan yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri di Malaysia dan undang-undang syariah yang diguna pakai adalah bagi memelihara kesejahteraan umat Islam di negara ini daripada perkara-perkara merosakkan termasuk perbuatan berkhalwat.

Tegas beliau, sekiranya kehidupan umat Islam di negara ini tidak lagi berlandaskan nilai-nilai moral dan prinsip berakhlak murni, keutuhan negara akan tergugat, sekali gus menjadikan kehidupan masyarakat menjadi kucar-kacir.

Katanya, kumpulan ini amat terpengaruh dengan pemikiran liberal Barat dan bernostalgiakan zaman penjajahan lalu yang meminggirkan agama serta budaya tempatan.

“Sepatutnya mereka memanfaatkan kesempatan yang ada setelah bersara untuk mendalami pengetahuan agama dan beribadat demi persediaan serta bekalan di akhirat kelak.

“Tidak sepatutnya masa yang ada ini dibazirkan dengan menimbulkan isu-isu yang aneh, janggal dan mengelirukan masyarakat. Jangan meracuni fikiran masyarakat dengan fahaman sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/wajar-bertaubat-1.166829#sthash.82ILi19z.dpuf


EmoticonEmoticon