jobs from my.neuvoo.com

30 Disember, 2015

'Henti aibkan saya...'

Kuala Lumpur: “Satu sen duit harta sepencarian atau bayaran mutaah tidak akan saya ambil. Apa yang penting, lepaskanlah saya secara baik dan hentikanlah mengaibkan hidup saya,” kata Lizda Nuryanti Abidin, 33, isteri kepada Ezany Nizariff.

Lizda berkata, setiap cerita dijaja Ezany selama ini adalah pembohongan semata-mata sehingga ramai yang menganggap dia seorang wanita jahat dan tidak bertanggungjawab sebagai isteri serta ibu.

“Saya bukan pelakon dan kehidupan yang saya lalui adalah realiti. Saya tidak pernah menipu. Tujuh tahun saya cuba mempertahankan perkahwinan ini dan sudah tiada air mata lagi kerana sering menangis mengenangkan nasib.

“Ramai yang tidak tahu keperitan yang saya lalui dan tanggungjawab sebagai isteri tidak pernah saya abaikan. Makan minum saya buat untuk dia,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, Ezany mengeluarkan kenyataan kepada media kononnya Lizda lari dari rumah kerana mengikut lelaki lain dan tergamak meninggalkan anak-anak sejak setahun lalu.

Kini kata Lizda, dia terpaksa membuka mulut untuk memberitahu perkara sebenar kerana sudah tidak tahan dan malu dengan tohmahan orang ramai yang mempersalahkan dirinya.

“Saya sudah tidak dapat menangis lagi. Kisah perceraian kami umpama gantung tidak bertali dan saya tidak mahu tunggu lagi.

“Selama ini saya berdiam kerana saya tak tahu saluran mana untuk mempertahankan diri tetapi hari ini saya dah ada kekuatan untuk berdepan situasi ini,” katanya.

Menurut Lizda yang kini berada di Tawau, Sabah, segala cerita suaminya kepada orang dan bukti kecurangannya tidak benar memandangkan lelaki terbabit adalah saudara terdekat serta gambar yang ada adalah sebelum perkahwinannya bersama Ezany.

“Hasil permainan Ezany, ia memberi impak kepada kehidupan lelaki yang didakwa sebagai skandal saya. Apa yang boleh saya kata, Ezany juga mempunyai hubungan dengan wanita lain ketika perkahwinan kami, tetapi saya bertahan kerana anak.

“Sebab itu, saya minta dia selesaikan masalah kami segera. Cukuplah dengan cerita yang penuh imaginasi itu,” katanya.

Lizda dan Ezany berkahwin pada 1 Julai 2007 dan dikurniakan dua anak iaitu Rayyan Harraz, 4, dan Hayden Harraz, 2.

Pada 17 Julai 2014, Lizda memfailkan cerai terhadap Ezany, namun pelakon itu sudah mendapat perintah Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk menolak permohonan itu kerana mengaku membuat permohonan nusyuz (perintah kembali taat) terhadap Lizda pada 22 Julai 2014.

Selain itu, Ezany juga memfailkan dua tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hak penjagaan sementara dan hak penjagaan kekal terhadap dua anak mereka.

Sementara itu, Ezany memberitahu, Lizda perlu menghadirkan diri di mahkamah untuk menyelesaikan kes itu memandangkan dia sudah menyerahkan segala-galanya kepada hakim.

“Daripada 12 perbicaraan kes cerai itu, dia hanya datang dua atau tiga kali sahaja. Kalau betul dia tidak bersalah hadirlah untuk mempertahankan diri.
“Apabila tidak datang, nampak seperti dia tidak betul dan jika fikir apa yang saya cerita selama ini fitnah, boleh datang serta jumpa di mahkamah untuk buktikan saya ini jahat,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103522#sthash.SAkxuvxe.dpuf


EmoticonEmoticon