jobs from my.neuvoo.com

06 Disember, 2015

Johor kehilangan putera terbaik bangsa

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Johor merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat jelata merafak sembah belasungkawa kepada seluruh kerabat diraja Johor atas kemangkatan anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

"Berita kemangkatan itu sangat mendukacitakan seluruh warga Johor dan Malaysia.

"Sesungguhnya kita kehilangan seorang putera terbaik bangsa yang selama ini menjadi aspirasi dan teladan yang unggul.

"Keluhuran sahsiah Allahyarham telah banyak mengajarkan kita semua erti ketinggian dan kesantunan peribadi. Semoga kekentalan dan semangat Allahyarham akan terus kekal bersama kita.

"Kerajaan negeri dan seluruh warga Johor mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan dikasihi-Nya.... al-Fatihah," katanya.
TUNKU Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim. - Foto Khairull Azry Bidin


EmoticonEmoticon