jobs from my.neuvoo.com

10 Disember, 2015

Muhyiddin kesal MT UMNO halang berucap

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berasa kesal apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan supaya beliau tidak dibenarkan berucap pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015.

Beliau berkata berdasarkan perbincangan dalam taklimat MT Umno malam ini, majoriti menyuarakan supaya Muhyiddin dihalang mengambil bahagian sama ada ucapan dasar mahupun penggulungan.

"Sepatutnya bagilah ruang dan peluang, itu amalan biasa, tapi Majlis Tertinggi Umno sudah buat keputusan, apa saya nak kata.

"Saya tetap tak diberi peluang untuk berucap," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat MT Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mesyuarat MT Umno malam ini tidak membincangkan nasib Muhyiddin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sebaliknya mesyuarat MT Umno pada malam ini hanya membincangkan persiapan pembentangan Perhimpunan Agung Umno yang biasa akan dibentangkan oleh Pengerusi Tetap.

Sementara itu, Mohd Shafie selaku Naib Presiden Umno pula mengesahkan bahawa mesyuarat MT Umno malam ini tidak membincangkan usul pemecatan dua pemimpin kanan parti Melayu itu.

"Saya cuma meminta rayuan supaya memberi peluang saya berucap dan keputusan MT Umno saya boleh berucap termasuk Timbalan Presiden," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata, perbincangan pimpinan Umno itu tidak menyentuh soal tindakan disiplin yang bakal diambil Lembaga Disiplin Umno terhadap Muhyiddin dan Mohd Shafie.

"Presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden masih orang yang sama. Jadi tidak timbul spekulasi di luar sana.

"Apa yang telah diputuskan ialah ucapan penggulungan, hanya ketua sayap sahaja, maka penggulungan akan dibuat oleh presiden parti sahaja," jelasnya.

Bagi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula berkata Muhyiddin dan Mohd Shafie masih kekal dengan jawatannya dalam parti.

"Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie masih timbalan presiden dan naib presiden, mereka akan hadir perhimpunan nanti.

"Hanya presiden saja menggulung," katanya lagi.


EmoticonEmoticon