jobs from my.neuvoo.com

21 Disember, 2015

Penjaga parkir ditahan bantu siasatan pergaduhan Kota Raya

Polis menahan seorang penjaga parkir bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di kompleks beli-belah Kota Raya, Kuala Lumpur semalam yang tercetus selepas tersebarnya dakwaan penipuan dilakukan sebuah kedai telefon bimbit.

The Star melaporkan lelaki berusia 38 tahun itu merupakan sebahagian kumpulan yang menyerang pekerja kedai tersebut.

Timbalan Ketua Balai Dang Wangi Sup Habibi Majinji berkata polis masih mencari beberapa individu yang terlibat dalam kekecohan itu.

“Pekerja kedai telefon bimbit itu cedera diserang dan sudah membuat laporan polis.

“Kami akan keluarkan gambar suspek dalam masa terdekat,” katanya.

Difahamkan pergaduhan itu tercetus selepas pembeli telefon bimbit mendakwa mereka ditipu peniaga.

Bagaimanapun, Habibi berkata mereka yang mendakwa tertipu hanya membuat laporan polis selepas kejadian itu.

“Daripada apa yang saya faham, mereka membaca catatan Facebook meminta berkumpul beramai-ramai dan meminta wang dikembalikan.

“Kami sudah mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang bertanggungjawab membuat posting itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dan memberi amaran supaya orang ramai tidak bertindak sesuka hati tanpa peruntukan undang-undang.

The Star juga memetiknya sebagai berkata peniaga di Kota Raya kerugian hampir RM15,000 kerana kekecohan itu.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, dan Seksyen 391 atas kesalahan mencuri dan menyebabkan kecederaan.

Sebelum tercetusnya pergaduhan itu yang menyebabkan 2 cedera, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengadakan sidang akhbar di luar kedai tersebut, meminta wang dikembalikan kepada pelanggan yang mendakwa ditipu kedai itu.

“Mereka datang tidak lama selepas sidang akhbar meminta wang dikembalikan itu selesai. Kira-kira 20 lelaki membawa kayu sert topi keledar dan memulakan pergaduhan dengan 8 pekerja kedai terbabit,” kata Timbalan Ketua Penyiasat Dang Wangi Supt M Gunalan kepada The Star. – 21 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/penjaga-parkir-ditahan-bantu-siasatan-pergaduhan-kota-raya#sthash.uBmHgw98.dpuf


EmoticonEmoticon