jobs from my.neuvoo.com

26 Disember, 2015

Penjawat awam, janda dicekup bersekedudukan

MELAKA: Seorang penjawat awam antara dicekup berkhalwat bersama pasangannya, seorang janda di sebuah hotel bajet di Taman Merdeka Permai, Batu Berendam di sini, dalam operasi bersepadu khas sempena cuti umum, awal pagi tadi.

Mereka antara tiga pasangan lain yang dicekup oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTj) di lima lokasi berasingan di kawasan terbabit bermula 11 tengah malam dan berakhir pada jam 3 pagi.

Operasi membabitkan kira-kira 20 anggota itu diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Arif Abu Bakar, yang menyasarkan hotel bajet yang sering menjadi tumpuan pasangan bukan mahram memadu kasih.

Ketika serbuan, penjawat awam, 21, yang masih berstatus kontrak dan bekerja di Kuala Lumpur itu memaklumkan dia menyertai tiga rakannya yang sudah berkahwin untuk bercuti di negeri itu dan menyewa bilik berasingan di hotel berkenaan.

Pasangannya, janda, 33, anak dua yang bekerja di kilang di sini pula memberi alasan bertemu dengan lelaki terbabit di sini, sebelum keluar bersama.

Turut dicekup dalam operasi, pasangan dari Taman Merdeka di sini, masing-masing lelaki warganegara Bangladesh, 26, dan wanita Indonesia, 24, yang mendaftarkan diri pada jam 6 petang sebelum itu.

Ketika pasangan warganegara asing terbabit menuju ke kenderaan pihak penguatkuasa, lelaki itu bagaimanapun bertindak meloloskan diri daripada ditahan dan meninggalkan pasangannya sendirian pada jam 12.40 tengah malam.

Beberapa penguatkuasa dan wakil media bergegas mengejar lelaki berkenaan sejauh kira-kira 200 meter, namun gagal kerana keadaan agak gelap menyebabkan pencarian sukar dilakukan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani, berkata semua yang dicekup membabitkan tiga lelaki dan wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun, berikutan gagal menunjukkan dokumen sah sebagai pasangan suami isteri.

"Semasa serbuan dilakukan mereka didapati tinggal berdua-duaan di dalam bilik hotel," katanya.


EmoticonEmoticon