jobs from my.neuvoo.com

31 Disember, 2015

Rogol dalam kereta di parkir sekolah memandu

Naiem Hanafi (kanan) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan perhubungan seks tanpa kerelaan mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun semasa dihadapkan di mahkamah sesyen, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah merogol dan melakukan perhubungan seks menggunakan jari terhadap seorang remaja berusia 17 tahun ketika dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Naiem Hanafi, 26, dari Mengabang Telipot, di sini, membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan kerana perhubungan seks dengan objek.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun di dalam sebuah kereta Proton Persona di kawasan parkir di sebuah sekolah latihan memandu di Gong Badak, di sini, antara jam 11.55 pagi hingga 12.10 tengah hari, pada 23 Mac 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan hubungan seks tanpa kerelaan mangsa di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pula, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorjidah Mohd Jusan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Mohd Azhar menetapkan 1 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam masa sama, mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi bagi kes berkenaan.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan sepanjang kes berkenaan dalam perbicaraan dan jika gagal, jaminan akan ditarik balik.


EmoticonEmoticon