jobs from my.neuvoo.com

21 Disember, 2015

Saya tiada kaitan pergaduhan di Kota Raya, kata Ali Tinju

Meskipun pernah membuat kenyataan menggesa masyarakat memboikot Kompleks Kota Raya di ibu kota selama setahun, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Mohd Ali Baharom menafikan terlibat dengan insiden pergaduhan antara pembeli dan peniaga di pusat perniagaan itu, petang semalam.

Ali atau lebih popular digelar Ali Tinju berkata, beliau langsung tidak mengenali sesiapa yang terlibat dalam pergaduhan yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu.

"Gerakan merah (Himpunan Baju Merah) tidak terlibat dengan pergaduhan tersebut. Saya tidak kenal pun siapa.

"Semalam hari minggu saya berada di Nilai dan saya ada terima panggilan polis bertanya ada mengenali sesiapa. Kami memang tak buat kerja macam itu (bergaduh). Tetapi jika tiada angin, takkan pokok bergoyang," katanya kepada The Malaysian Insider.
Katanya, beliau percaya berlaku salah faham di antara kedua-kedua pihak iaitu peniaga dan pembeli.

"Jangan hanya salahkan pembeli. Jika peniaga beretika mungkin tidak jadi sebegini. Masing-masing mungkin ada salah.

"Jika peniaga tidak guna kekerasan tidak cakap kurang ajar. Tidak menipu dengan jual harga mahal. Perkara sebegini tidak berlaku,” katanya.

Ali sebelum ini menggesa rakyat Malaysia memboikot Kompleks Kota Raya di ibu kota selama setahun susulan insiden seorang pelanggan didakwa dikurung di salah sebuah kedainya, baru-baru ini.

Tindakan boikot itu dicadangkan bagi memberi pengajaran kepada peniaga di pusat beli-belah itu yang didakwanya tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau yakin rakyat negara ini akan memboikot kompleks itu selepas pihaknya menyebarkan gesaan itu di media sosial.


EmoticonEmoticon