jobs from my.neuvoo.com

29 Januari, 2016

Anuar Musa ganti Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan pelantikan Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu.

Beliau menggantikan Datuk Ahmad Maslan yang juga Anggota Parlimen Pontian, dan akan memegang portfolio baharu sebagai Pengerusi Biro Teknologi Maklumat parti selain dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Pengumunan itu paling menarik tumpuan kerana Ahmad dilantik sebagai ahli MT baharu bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum ini pernah ditawarkan kepada Datuk Ustaz Kazim Elias.

Najib yang juga Perdana Menteri, turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Anggota Parlimen Baling) sebagai Pengerusi Biro Daftar Pemilih dan Keanggotaan parti.

Manakala Datuk Johari Abdul Ghani (Anggota Parlimen Titiwangsa) sebagai Pengerusi Biro Ekonomi, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Anggota Parlimen Kepala Batas) pula Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara UMNO.

Click Here
Najib mengumumkan rombakan tersebut pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada Jumaat.

Selain itu, Datuk Mohd. Razali Ibrahim (Anggota Parlimen Muar) menerajui Biro Institusi Pengajian Tinggi Swasta manakala Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Anggota Parlimen Lenggong) pula Pengerusi Biro Kebajikan.

Turut hadir pada mesyuarat MT pada kali ini ialah Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta ketua-ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu, seorang naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal tidak kelihatan ketika mesyuarat manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berada di Arab Saudi atas urusan rasmi. – Agensi/Mynewshub.cc


EmoticonEmoticon