jobs from my.neuvoo.com

27 Januari, 2016

Datuk, nenek mengaku buat persediaan persetubuhan luar nikah

KUALA TERENGGANU: Seorang warga tua berusia 69 tahun dan pasangannya, seorang janda berusia 52 tahun dikenakan hukuman denda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Selasa, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof mengenakan hukuman itu terhadap Mamat Abdullah, dari Kampung Batin, Seberang Takir, di sini, serta pasangannya Suri Abdullah, 51, dari Ladang Tayor, Sungai Tong, Setiu, selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Mahkamah turut mengenakan hukuman penjara lima bulan kepada kedua-dua tertuduh yang masing-masing memiliki tujuh anak, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mamat yang bekerja sebagai nelayan dan Suri yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di Jalan Tok Lam di sini, kira-kira jam 10.50 pagi pada 12 November tahun lalu.

Sepasukan pegawai dan Penguatkuasa Syariah daripada Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu melakukan serbuan berwaran ke atas bilik berkenaan dan sebaik tiba, pintu utama bilik didapati tertutup rapat dan berkunci dari dalam. Selepas beberapa kali memberi salam, pintu dibuka seminit kemudian oleh tertuduh lelaki yang hanya memakai seluar slack panjang tanpa baju.

Pemeriksaan di dalam bilik berkenaan kemudian menemui tertuduh wanita bersembunyi dalam bilik air dengan hanya berkain baju kurung berkemban. Siasatan lanjut mendapati hanya mereka berdua berada di dalam bilik berkenaan dan soal siasat mendapati mereka berdua tiada hubungan suami isteri.

Sementara itu, Nik Mohd Shahril dalam penghakimannya menasihatkan kedua-dua tertuduh yang sudah lanjut usia segera bertaubat dan insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

"Anda berdua mempunyai keluarga, anak dan cucu. Pada usia sebegini, anda berdua sepatutnya mengingati mati dan memperbanyakkan amal ibadat, bukan mencemarkan diri dengan bergelumang dosa apatah lagi perbuatan sebegini yang memalukan keluarga dan anak-anak," katanya.



EmoticonEmoticon