jobs from my.neuvoo.com

02 Januari, 2016

Dikejar pemungut hutang, ADUN dalam ketakutan lapor polis

GEORGETOWN - Seorang Adun membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatannya selepas diburu pemungut hutang beberapa hari lalu.

Menurut sumber, Adun berkenaan diburu pemungut hutang itu kerana dikatakan gagal melunaskan pinjaman sebanyak RM200,000 yang dibuatnya sebelum ini.

Difahamkan, selain untuk tujuan keselamatan, laporan polis itu juga bertujuan untuk menafikan bahawa dia ada membuat pinjaman tersebut.

Sumber berkata, siasatan awal yang dilakukan mendapati, wakil rakyat berkenaan mengenali peniaga yang dikatakan memberi pinjaman itu.

Pinjaman itu dikatakan dibuat wakil rakyat itu untuk menampung kos projek perumahan yang ingin dibangunkan wakil rakyat berusia 35 tahun itu bersama seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk di Jalan C Y Choi di sini.

Menurut sumber, laporan polis itu dibuat setelah pejabat Adun itu didatangi dua lelaki yang mendakwa wakil kepada peniaga kedai pajak gadai untuk menuntut bayaran balik pinjaman berjumlah ratusan ribu itu.

“Adun itu bagaimanapun menafikan ada membuat pinjaman berkenaan walaupun sebelum ini sudah beberapa kali menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang menuntut hutang daripadanya.

“Difahamkan Adun berkenaan dan individu yang memberi pinjaman kepadanya itu mula berkenalan sejak 2012. Sebelum ini, dia dikatakan pernah membuat pinjaman sebanyak RM150,000 malah sebelum meminjam wang berkenaan, dia juga dikatakan membuat pinjaman sebanyak RM22,000 daripada peniaga kedai pajak gadai itu,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, kesemua pinjaman itu dikatakan tidak mempunyai dokumen perjanjian berikutan dibuat atas dasar kawan.

“Setelah membuat pinjaman itu bagi membangunkan sebuah projek perumahan, Adun terbabit dikatakan ada berjanji untuk melunaskan semua hutang setelah projek perumahan yang dimaksudkan siap.

“Sehingga hujung bulan Mei tahun lalu, hanya dua bayaran melalui cek berjumlah RM20,000 pernah dibuat Adun berkenaan dan selepas itu tiada sebarang bayaran lain yang dibuat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.


EmoticonEmoticon