jobs from my.neuvoo.com

18 Januari, 2016

Guru naikkan status Pantai Kasih dipanggil KPM

Seorang guru yang dikatakan memuat naik status di media sosial berkaitan pertikaian teks sastera tingkatan 4 akan dipanggil memberikan penjelasan.

Faiez Ali dikatakan menulis status berkaitan novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin di Faceboook pada 11 Januari lalu.

Kementerian Pendidikan juga akan menemui panel pemilih novel teks Komponen Sastera (Komsas) bagi mata pelajaran bahasa Melayu yang mencetuskan polemik itu, lapor BH Online.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan (gambar) dilaporkan berkata pertemuan panel pemilih dengan Bahagian Perkembangan Kurikulum bertujuan memperoleh justifikasi menyeluruh sebab pemilihan Pantai Kasih.

"Kedua-dua pihak akan dipanggil bagi memberi penjelasan mengenai isu novel berkenaan, manakala pada Rabu ini pula, akan diadakan pula mesyuarat peringkat pengurusan tertinggi membabitkan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, (Dasar dan Pembangunan), Datuk Seri Khairil Awang.

"Mesyuarat khas peringkat pengurusan tertinggi itu akan dilakukan secara dalaman bagi menentukan sebarang keputusan berkaitan isu itu dan dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid," Kamalanathan dipetik sebagai berkata ketika dihubungi BH.

Polemik novel itu bermula minggu lalu selepas penggunaannya sebagai teks Komsas dipersoal pengguna media sosial susulan adegan yang didakwa terdapat elemen lucah.

Pemilihannya juga dikatakan kurang menepati matlamat Komsas untuk membentuk pembangunan diri dan memupuk nilai murni di kalangan pelajar.


EmoticonEmoticon