jobs from my.neuvoo.com

23 Januari, 2016

Hampir pasti MB Kedah bakal bertukar tampuk

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan meneliti permohonan dan hasrat hati UMNO Kedah yang mahukan beliau melakukan perubahan dalam kepemimpinan parti itu di negeri tersebut dengan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Dalam pertemuan beliau de­ngan barisan kepemimpinan UMNO dan Exco kerajaan negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau akan meneliti semua perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

“Perdana Menteri akui apa yang berlaku adalah suara yang dibawa oleh ketua-ketua bahagian di Kedah, oleh itu beliau minta diberi masa untuk membuat keputusan kerana apa juga tindakan perlu mengambil kira kesan kepada UMNO Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Selain itu beliau juga menuntut kesetiaan semua pemimpin UMNO negeri tersebut terutamanya apabila keputusan dibuat dalam tempoh sehari dua lagi,’’ kata satu sumber yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat itu dihadiri oleh lebih 50 orang pemimpin UMNO Kedah. Antara yang hadir Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Ahli Parlimen Jerai Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Dawai, Datuk Tajol Urus Mat Zain; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Selain itu beberapa Exco Kerajaan Negeri dan ADUN yang dikatakan menyokong Mukhriz tidak hadir. Exco tersebut ialah Datuk Aminuddin Omar, Datuk Suraya Yaakob, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail dan Datuk Noor Sabrina Mohd.Noor.

Menurut sumber itu, kesemua pemimpin UMNO yang hadir sepakat meminta Perdana Menteri menyelesaikan isu tersebut dengan segera termasuk menghadap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah secepat mungkin.

“Dalam mesyuarat itu, Ahmad Bashah yang mewakili kepemimpinan UMNO Kedah menjelaskan apa yang berlaku dan mahu Perdana Menteri membuat perubahan terhadap kepemimpinan UMNO Kedah demi memastikan parti itu terus berkuasa,’’ katanya.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar bagi menggantikan Mukhriz, sumber itu berkata, setakat ini Ahmad Bashah merupakan calon utama dan pengumuman mengenai­nya akan dilakukan dalam tempoh sehari dua lagi.

“Ada pihak memaklumkan majlis angkat sumpah dijangka diadakan pada penghujung bulan ini di Istana Anak Bukit,’’ kata sumber tersebut.

Sementara itu di ALOR SETAR, sokongan terhadap Mukhriz dilihat semakin berkurangan apabila beberapa perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan beliau semakin pudar.

Dalam masa sama, satu sumber memberitahu, Mukhriz juga menghadapi masalah dalam mendapatkan sokongan ADUN-ADUN jika beliau berhasrat membawa perkara itu ke dalam sidang DUN.

“Tetapi majoriti pemimpin UMNO Kedah mengharapkan tidak sampai pada tahap itu sebaliknya mereka menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Tambahan pula kecuali beberapa orang wakil rakyat, pemimpin UMNO lain kesemuanya sudah menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa mereka akan menyokong siapa sahaja yang dipilih menggantikan Mukhriz,’’ katanya.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/politik/hampir-pasti-ganti-mb-kedah-1.182475#sthash.CVUBmUow.dpuf


EmoticonEmoticon