jobs from my.neuvoo.com

08 Januari, 2016

Isu tertukar bayi di hospital, Mufti akhirnya keluarkan SOLUSI...

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes berlakunya pertukaran bayi di salah sebuah hospital tempatan. Di samping kita bersimpati dengan hal menimpa keluarga-keluarga yang terbabit, sayugianya kita meneliti implikasi hukum akibat kejadian pertukaran tersebut khususnya hukum berkaitan penyusuan anak.

Justeru, pihak kami dalam Irsyad al-Fatwa pada siri kali ini tampil untuk memberikan solusi bagi permasalahan yang berlaku.

Semoga ianya bermanfaat kepada semua.

MUKADIMAH

“Sepasang suami isteri terkejut apabila bayi yang disangka anak mereka sebenarnya milik kepada pasangan lain, dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah perubatan swasta”.

Demikianlah laporan akhbar Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar tempatan yang lainnya pada hari ini. Justeru, pihak kami dalam Irsyad al-Fatwa pada siri kali ini tampil untuk memberikan solusi bagi permasalahan yang berlaku.

Di antara perkara yang turut dikhabarkan oleh bapa kandung bayi yang tertukar, isterinya sudah pun menyusukan bayi yang disangka sebagai anak mereka itu sebanyak dua hingga empat kali kenyang. Oleh yang demikian, kami senaraikan pendapat para fuqaha Islam berdasarkan pandangan-pandangan mazhab yang muktabar berkaitan isu ini.

Kadar Susuan Yang Disabitkan Menjadi Anak Susuan

Di dalam permasalahan ini, para ulama’ telah mempunyai tiga pendapat:

Pendapat Pertama: Berpendapat al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik walaupun sedikit sahaja disusukan bayi tersebut, maka bayi tersebut telah menjadi anak susuan meskipun hanya hanya sekali atau dua kali hisapan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِيٓ أَرۡضَعۡنَكُمۡ

Maksudnya: dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu

(Al-Nisaa’: 23)

Ayat di atas berkaitan dengan pengharaman melalui penyusuan tanpa adanya kadar penentuan yang tertentu. Rasulullah SAW juga bersabda:

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: "Diharamkan dari susuan itu apa-apa yang diharamkan dari nasab"

Riwayat al-Nasai’e (3302)

Pendapat Kedua: Berpendapat al-Imam al-Syafi’e dan al-Imam Ahmad bahawa kadar penyusuaan (yang boleh menjadikannya anak susuan) adalah sebanyak lima kali susuan yang mengenyangkan. Ini berdasarkan hadith riwayat Saidatina ‘Aisyah R.Anha yang mana telah berkata:

كَانَ فِيمَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ يُحَرِّمْنَ ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ فَتُوُفِّيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَهُنَّ مِمَّا يُقْرَأُ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: Adapun apa (yang dahulu) diturunkan oleh Allah SWT daripada al-Quran adalah dengan sepuluh kali susuan (yang menjadikannya mahram) kemudian telah dimansukhkan dengan lima kali susuan. Rasulullah SAW telah wafat ianya dikalangan ayat yang pernah dibacakan dahulu.

Riwayat Abu Daud (2062)

Dikira sebagai satu susuan adalah apabila bayi tersebut menyusu dan kemudiannya melepaskan dari susuan atas pilihannya sendiri (kerana telah kenyang) tanpa ada gangguan yang mendatang.

Pendapat Ketiga: Ianya adalah pendapat Daud al-Zahiri dan Abu Thaur dan sebahagian fuqaha’ yang mana kadar penyusuan (sehingga menjadikannya anak susuan) adalah sebanyak tiga kali susuan. Mereka berdalilkan hadith Rasulullah SAW:

لاَ تُحَرِّمُ الإِمْلاَجَةُ وَالإِمْلاَجَتَانِ

Maksudnya: Satu atau dua hisapan (susuan) tidak menjadikan mahram

Riwayat Muslim (1451) & al-Nasai’e (3308)

Mafhum hadith tersebut iaitu menjadi mahram adalah dengan tiga kali susuan.

Tarjih: Dengan melihat pendapat-pendapat di atas, kami cenderung menjadikannya sebagai anak susuan walaupun dengan hanya empat kali susuan sahaja dan belum mencapai lima kali susuan. Ini melihat kepada pendapat al-Imam Hanafi, Maliki dan juga al-Zahiri dan kaedah ihtiyat (berhati-hati) takut berlakunya keraguan pada ibu tersebut.

Penentuan Umur Bayi Untuk Disabitkan Sebagai Anak Susuan

Berkenaan dengan penentuan umur bayi juga menjadi khilaf dikalangan ulama’, namun kami cenderung dengan pendapat jumhur yang telah menentukan kadarnya ialah 2 tahun atau kurang usia bayi ketika itu. Ini berdasarkan nas:

۞وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu

(Al-Baqarah: 233)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ

Maksudnya: dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun

Dari kedua ayat di atas, dapat difahami bahawa umur bayi mestilah kurang dari dua tahun.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Dalam isu ini, kami merasakan agar semua pihak perlu berhati-hati berkenaan dengan bayi yang baru dilahirkan. Kami amat memahami situasi yang berlaku, akan tetapi pengesahan sebelum diserahkan bayi hendaklah dibuat dengan penuh teliti agar kes-kes seperti ini tidak berulang lagi.

Keduanya, kami katakan bahawa anak dan bayi yang telah disusukan oleh seorang ibu jika telah mencapai rasa kenyang walaupun hanya 4 kali maka anak tersebut disabitkan sebagai anak susuan.

Justeru, segala hukum terbabit adalah berdasarkan nas hadis.

Ketiganya, saya menganggap isu ini banyak memberi pengajaran dan saya merasakan semangat dua keluarga tersebut bertambah erat dan lebih harmoni kerana berlaku dalam keadaan yang tidak disengajakan. Mungkin ini dapat merapakatkan ukhuwah islamiah di antara dua keluarga tersebut. Semoga pencerahan yang ringkas ini dapat membantu kita agar lebih tekun mendalami isu-isu fiqh al-islami dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Akhukum Fillah

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

SUMBER


EmoticonEmoticon