jobs from my.neuvoo.com

05 Januari, 2016

Rogol suka sama suka?

Xifu Naser
SEBUT sahaja perkataan jenayah 'rogol' akan terlintas bahawa ia adalah satu bentuk paksaan untuk melakukan seks. Kalau satu pasangan rela suka sama suka melakukan seks, ini tidak dipanggil rogol.

Andaian di atas tidak tepat. Sebenarnya, ada satu lagi jenis jenayah rogol iaitu Rogol Statutori. Maknanya, jika seorang lelaki berumur 30 tahun melakukan seks dengan teman wanitanya berumur 14 tahun walaupun dengan rela suka sama suka, lelaki ini boleh dihukum penjara atas dakwaan bahawa beliau telah 'merogol' teman wanitanya ini!

Ini adalah berdasarkan mindset legal bahawa seseorang haram melakukan seks di bawah umur yang tertentu. Di Malaysia, seseorang adalah dikategorikan sebagai bawah umur untuk seks jika dia belum berumur 16 tahun, atau jika belum berumur 14 tahun di Kanada, atau jika belum berumur 17 tahun di Australia, atau jika belum berumur 18 tahun di sebahagian wilayah Amerika.


Kita lihat wujud perbezaan pendapat tentang had bawah umur ini. Bahkan di Amerika, sudah kedengaran suara-suara mendesak untuk merendahkan had bawah umur dari 18 ke 13 tahun. Maknanya, tidak salah untuk remaja 13 tahun melakukan seks suka sama suka memandangkan gejala sosial yang semakin meruncing di Amerika. Korea Selatan dan Sepanyol, umur 13 tahun ke atas dikira sudah matang untuk seks.

Baru-baru ini, Bukit Aman mengeluarkan statistik sejak 2013 ke 2015 bahawa 52 peratus dari hampir 7,000 kes rogol melibatkan jenayah seks bawah umur. Yang lebih menakutkan ialah 90 peratus dari 52 peratus jenayah seks bawah umur ini adalah suka sama suka, bukan paksaan. Statistik ini tidak termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan. Nafsu seks remaja bawah umur sebenarnya semakin melonjak tinggi.

Saya lihat terdapat dua pendapat luar biasa dalam isu ini. Bagi ulama seperti Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali selaku Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, beliau berkata, “Anjuran bernikah adalah ubat yang paling mujarab.”

Perkataan 'paling' ini telah menimbulkan bantahan daripasa SIS (Sister In Islam) bahawa ulama ini telah melanggar hak wanita kerana perogol bawah umur diberi ganjaran nikah!

Bagi SIS, sepatutnya kita bertanggungjawab “memastikan gadis bawah umur memperoleh peluang pendidikan tinggi dan mencapai potensi diri mereka”.

Bagi saya, dua pendapat ini gagal melihat apakah isu sebenarnya. Ulama terlalu idealistik dalam soal nikah sedangkan nikah bukan ubat yang paling mujarab jika ia dijadikan alat memuaskan nafsu seks semata-mata.

SIS pula terlalu holy dan medieval dalam pemikiran seks seolah-olah seks awal melalui nikah adalah tabo, semestinya menjadi penghalang bagi wanita mencapai potensi diri.

Kita telah lihat di atas bagaimana negara-negara Barat sendiri berkhilaf tentang umur yang sesuai untuk seks. Bahkan, semakin ramai di Barat yang mendesak untuk iktiraf seks pada seawal umur 13 tahun sebagai fitrah semula jadi dan hak asasi manusia.

Seks yang sihat adalah penting untuk pembangunan rohani, minda dan ketamadunan. Bagi Barat, seks yang sihat ialah jika dilakukan selepas had bawah umur walaupun di luar perkahwinan.

Bagi Islam, seks yang sihat bukan sekadar melalui nikah di mana ia hanya merupakan prosedur. Tetapi ia melibatkan keadilan yang dipertanggungjawabkan ke atas pasangan yang sudah bernikah. Nikah meletakkan tanggungjawab moral, legal dan spiritual tetapi seks di luar nikah akan menghalalkan jenayah pelacuran yang berleluasa.

Sebenarnya, isu yang utama di mana ulama dan SIS gagal tangani ialah bagaimana meminimumkan jenayah seks atas nama nikah atau atas nama matang. Adakah seks matang selepas had bawah umur, remaja berumur 19 tahun atau belia berumur 30 tahun semestinya berjaya elak kezaliman terhadap wanita?

Isu jenayah seks ini sebenarnya melibatkan semua rakyat Malaysia. Kita patut melihat perbezaan perspektif sebagai check and balance perspektif kita. Diskusi yang jauh dari retorik dan fanatik perlu dilakukan dengan memanggil tokoh-tokoh multikultural untuk bincang bersama-sama.



* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim


EmoticonEmoticon