jobs from my.neuvoo.com

29 Januari, 2016

Tun M Pun Pernah Paksa MB Kedah Undur Jawatan

ALOR SETAR – Bekas Menteri Besar (MB) Kedah, Tan Sri Osman Aroff yang ‘diundurkan’ jawatannya pada 1996 meminta Datuk Seri Mukhriz Mahathir akur keputusan parti mahu menggantikannya dengan pemimpin lain.

Beliau, yang pernah ditukar dengan Tan Sri Sanusi Junid oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad; juga meminta penyokong Mukhriz tidak mengaitkan krisis UMNO Kedah kini dengan pihak istana.

MB Kedah keenam dari 1985 sehingga 1996 itu malah menyarankan agar semua pihak terbabit di negeri Jelapang Padi akur dengan pendirian parti yang sudah pun membuat keputusan berhubung kedudukan status Mukhriz.

Osman berkata, beliau pernah mengalaminya dahulu apabila Mahathir selaku Presiden UMNO ketika itu mahukan dirinya meletakkan jawatan MB walaupun dipertahankan oleh 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah.

Kata beliau yang juga bekas ADUN Jitra itu, ketika waktu tersebut pihak Istana Kedah langsung tidak pernah campur tangan dan terus berkecuali hingga isu selesai dengan pengundurannya atas dasar mengikut arahan ketua.

“Di pihak mana sekali pun, jangan guna nama istana kerana setahu saya istana tidak pernah masuk campur. Sultan Kedah (Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah) malah tidak ikut campur hal politik, baginda berkecuali,” katanya.

Osman juga berkata, jentera pentadbiran Kedah kemungkinan bakal berhadapan dengan masalah besar jika Mukhriz terus kekal MB tanpa mendapat sokongan dan dokongan majoriti pemimpin parti di negerinya sendiri.

Justeru, beliau minta Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak segera membuat keputusan bagi menjernihkan kembali keadaan dengan tidak membiarkan kemelut politik negeri tersebut berpanjangan tanpa kesudahan.

“Parti di peringkat negeri sudah buat pendirian hilang kepercayaan kepada pimpinan mereka. PM tidak boleh tangguh lagi kerana keadaan boleh jadi lebih buruk jika dibiarkan. Najib perlu buat keputusan segera.

“Apa yang jelas, jika MB kekal tanpa sokongan parti yang mendokongnya, maka pentadbiran negeri Kedah akan berada dalam masalah. Jika bermasalah bagaimana pentadbiran akan berjalan dengan lancar,” kata Osman.

Beliau juga membidas dakwaan konon Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) jika Mukhriz disingkirkan kerana berpendapat keputusan PRU berdasarkan gerak kerja parti mendekati rakyat.

“Untuk kata muktamad BN akan kalah pada PRU,… itu tidak adil. Kita tidak boleh kata kemenangan itu disebabkan seseorang semata-mata kerana seluruh jentera buat kerja keras untuk mendapatkan undi rakyat.

“Apa yang penting dalam apa jua keadaan selepas ini, BN perlu kembali mendekati rakyat dan berusaha memenangi hati rakyat bagi menghadapi PRU ke-14 nanti,” tegas Osman. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


EmoticonEmoticon