jobs from my.neuvoo.com

27 Januari, 2016

Video pelajar UiTM mabuk, lalok dadah tersebar?

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan pelajarnya berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah seperti mana yang didakwa berikutan penyebaran di laman sosial dua rakaman video semasa program kendalian kampus universiti itu di Melaka.

Pemangku Naib Cancelor UiTM, Prof Ir Dr Abdul Rahman Omar berkata program tahunan anjuran persatuan pelajar itu mendapat kebenaran daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka serta dikawal selia sepenuhnya oleh pensyarah fakulti tersebut dan Polis Bantuan UiTM Melaka.

“UiTM ingin menjelaskan bahawa tuduhan berkenaan adalah tidak benar dan dilakukan dengan niat jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, konteks rakaman video itu juga diselewengkan.

“Pentadbir laman sosial berkenaan juga sewenang-wenangnya mengaitkan kegembiraan yang ditunjukkan oleh para pelajar dengan sebarang aktiviti tidak bermoral tanpa menunjukkan bukti kukuh akan kewujudan alkohol, dadah atau sebarang bahan terlarang yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya ia merupakan kali keenam program berkenaan dianjurkan yang antaranya bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar mempamerkan bakat dan kreativiti mereka.

“Aktiviti lain seperti jualan hasil seni, latihan keusahawanan dan sesi perbincangan dengan ahli-ahli pakar dalam pelbagai bidang seni turut dijalankan dalam program selama tiga hari itu,” katanya. – BERNAMA


EmoticonEmoticon