jobs from my.neuvoo.com

10 Februari, 2016

Ahli PAN bakal pulang semula ke pangkuan Pas

KOTA BHARU 9 Feb. – Parti Amanah Negara (PAN) dijangka menerima tamparan hebat apabila Pas hari ini mengesahkan kebanyakan ahli PAN akan pulang semula ke pangkuan parti itu dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, rata-rata ahli Pas yang sebelum ini keliru de­ngan condong kepada PAN akan menyertai semula Pas secara berperingkat dalam tempoh enam bulan.

“Kita tidak mahu mengumumkan perkara ini secara besar-besaran, apa yang pasti mereka akan balik semula kepada Pas. Kita juga masih memberi peluang kepada ahli-ahli PAN yang mula sedar akan kesilapan mereka itu menyertai Pas.

“Pada masa sama, Pas juga bakal menerima penyertaan bekas tokoh negara termasuk bekas pemimpin Kabinet dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Presiden Kehormat Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Datuk Chan Chia Ling dan Penasihat gabungan tersebut, Datuk Chan Farn Kheang.

Sementara itu Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Pas mengalu-alukan PAN bertanding menentang parti itu pada pilihan raya umum akan datang.
Sambil menyifatkan PAN bukan ancaman besar kepada parti itu, beliau menegaskan, Pas sama sekali tidak akan memberi ruang atau laluan kepada PAN untuk bertanding pada pilihan raya.

“PAN tidak ada kaitan dengan Pas, jadi kalau hendak bertan­ding dalam pilihan raya, dia punya pasal. PAN hendak bertanding kita alu-alukan, tetapi jangan harap kita akan beri laluan, Pas akan lawan,” tegasnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima aduan mengenai tindakan bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang berterusan mengkritik parti sendiri.

“Kita akan proses aduan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap Husam. Aduan mengenai tingkah laku Husam ini telah diterima sejak daripada tahun lalu lagi dan kenyataan-kenyataan Husam ini dilihat mencabar Pas,” katanya.


EmoticonEmoticon